Pemuda UPKO Tamparuli Sokong Keputusan Keluar PH: “Sabah Perlu Autonomi Sebenar”
- nabalunews
- 4 minutes ago
- 1 min read

12 November 2025
TAMPARULI: Pergerakan Pemuda UPKO Tamparuli melalui ketuanya, Maxolvin Sintore Gabu, menyatakan sokongan penuh terhadap keputusan parti untuk keluar daripada Pakatan Harapan (PH).
Beliau menegaskan, langkah tersebut perlu diambil demi mengembalikan maruah dan autonomi politik Sabah.
Menurutnya, UPKO tidak pernah dihormati dalam kerjasama PH, walaupun Presiden Datuk Ewon Benedick telah dipilih secara sah sebagai Pengerusi PH Sabah.
Katanya, pelantikan itu ditolak secara terbuka oleh PKR, sekali gus memperlihatkan bahawa PH Sabah tidak mempunyai autonomi sebenar dalam membuat keputusan politik di peringkat negeri.
“Segala proses rundingan kepimpinan dan pembahagian kerusi masih dikawal oleh pihak pusat. Ini bertentangan dengan semangat sebenar ‘Sabah First’,” tegas dalam kenyataan berkenaan.
Maxolvin berkata, Pemuda UPKO Tamparuli turut menyatakan kekecewaan terhadap kerajaan Persekutuan yang dilihat tidak menunjukkan kesungguhan dan keikhlasan dalam menunaikan tuntutan pemulangan 40 peratus hasil cukai kepada Sabah seperti termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
“Perkara ini bukan sekadar janji politik, ia adalah hak rakyat Sabah yang sepatutnya dihormati dan dilaksanakan dengan tanggungjawab,” katanya.
Sehubungan itu, Maxolvin menegaskan UPKO kini bersedia bertanding secara solo, namun terbuka bekerjasama dengan parti-parti tempatan lain yang berkongsi semangat ‘Sabah First’ yang mengutamakan kepentingan negeri melebihi politik pusat.
“Pemuda UPKO Tamparuli menyeru semua parti tempatan untuk menyingkirkan ego dan membina perpaduan demi masa depan Sabah yang lebih bermaruah, adil, dan makmur,” katanya.
Sementara itu, apabila ditanya mengenai calon UPKO di kerusi N14 Tamparuli, Maxolvin berkata, pihaknya sebulat suara menyokong Datuk Seri Wilfred Madius Tangau untuk terus menawarkan kepimpinan beliau bagi mewakili rakyat Tamparuli.
Menurutnya, kepimpinan Madius terbukti berkesan dalam memperjuangkan isu pembangunan dan suara rakyat di peringkat negeri dan persekutuan.














