MASALAH AIR: PENDUDUK TAMAN BANDAR SIERRA BINA PAIP AIR GRAVITI
- Wartawan Nabalu News
- Jun 4, 2021
- 2 min read
Updated: Jun 6, 2021

4 Jun 2021
Oleh Jacquline Ebit
KOTA KINABALU: Sekumpulan penduduk Taman Bandar Sierra, Telipok mengambil inisiatif sendiri untuk membina paip air graviti bagi mengatasi masalah bekalan air yang menimpa mereka sejak sekian lama.
Menurut seorang penduduk melalui ciapan Facebooknya, masalah bekalan air yang dihadapi mereka sebenarnya sudah lama iaitu sejak tahun 2015 lagi semasa pembukaan perumahan Rimba yang terletak di bawah kaki bukit.
Difahamkan bahawa Taman Rimba tidak mempunyai tangki simpanan air sendiri kerana pemaju tidak menyediakan tangki simpanan untuk mereka.
Ini menyebabkan penduduk di Taman Bandar Sierra terpaksa berkongsi tangki simpanan dengan penduduk di Taman Rimba sehingga mengakibatkan kedua-dua kawasan perumahan mengalami masalah bekalan air.
Beliau berkata: “Sangat menghairankan bagaimana perumahan begitu besar tidak mempunyai tangki simpanan sendiri”.
"Kami terpaksa berkongsi tangki simpanan kami dan memandangkan perumahan kami di atas bukit, so tekanan air sangatlah rendah selepas perkongsian dengan Taman Rimba,” katanya ketika dihubungi Nabalu News.

Penduduk Taman Bandar Sierra itu berkata, mereka sudah berkali-kali menghantar aduan kepada pihak Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) namun masih belum ada sebarang tindakan yang diambil oleh pihak JANS untuk menyelesaikan masalah tersebut.
Malah catuan air yang diberikan cuma sampai di kawasan perumahan Taman Rimba sahaja.
Oleh kerana tidak sanggup lagi untuk menunggu jalan penyelesaian dari JANS penduduk Bandar Siera mengambil keputusan untuk membina air paip graviti.
"Kami tahu ada perkampungan sekitar atas bukit dan bekalan air mereka adalah air graviti .. so kami cari, jumpalah di atas bukit lebih kurang 300 hingga 400 meter dari kawasan perumahan,” katanya.
Setakat ini paip air graviti yang dibina mampu menampung kira-kira 120 buah rumah.
Penduduk Bandar Sierra difahamkan, pemaju mereka telah menyerahkan sepenuhnya tangki simpanan untuk diselenggarakan oleh Jabatan Air Sabah.

“Sepatutnya Jabatan Air, perlu membuat kajian sama ada bekalan air cukup atau tidak untuk menampung dua taman perumahan itu.
“Jika kajian mendalam...rasanya masalah air tidak timbul. Sekarang ini, kedua-dua penduduk di taman tersebut menerima gangguan bekalan air yang kritikal,” katanya.
Sementara itu Wendy, seorang lagi penduduk Bandar Sierra berkata, masalah air di perumahan itu seakan-akan tiada penyelesaian.
“Sengsara betul tiada air, kita disaran supaya kerap mencuci tangan bagi mengelak jangkitan Covid-19 tapi macam mana kalau tiada air?
“Kami terpaksa cuci kain di dobi sebab tiada air... semua pun guna duit, beli air minum dan untuk masak pun terpaksa beli air.
“Kos sara hidup meningkat, masalah ekonomi tidak menentu ekoran Covid-19, ditambah lagi dengan kos membeli air,” katanya.
Sehubungan itu Wendy berharap, Jabatan Air dapat menyelesaikan masalah air di perumahan itu dan juga Taman Rimba.
“Kami bayar bil air juga kalau bil sampai,” katanya.















Comments