top of page

Pencetus Perubahan: Jubilo Manfaatkan NFDP Untuk Memacu Generasi Baharu

  • nabalunews
  • 7 days ago
  • 2 min read

8 April 2026


KOTA KINABALU: Jubilo Football Academy terus mencipta nama dalam pembangunan bola sepak akar umbi apabila menerima jemputan untuk menghantar jurulatihnya menjalani program penempatan latihan di Akademi Mokhtar Dahari (AMD).


Tawaran itu disampaikan oleh Datuk Ong Kim Swee selaku Pengarah Teknikal National Football Development Programme (NFDP), semasa lawatan kerjanya ke sekretariat akademi berkenaan di Likas, hari ini.


Program penempatan itu bertujuan meningkatkan tahap kejurulatihan melalui pendedahan kepada metodologi latihan berprestasi tinggi yang diamalkan di peringkat kebangsaan.

Dalam lawatan itu, Kim Swee bersama delegasinya diberikan taklimat mengenai struktur organisasi, falsafah pembangunan serta program-program yang dilaksanakan oleh Jubilo Football Academy.


Difahamkan, ketika ini, akademi berkenaan membimbing kira-kira 200 pemain muda berusia antara bawah 7 hingga bawah 16 tahun.


Sejak penubuhannya, Jubilo Football Academy telah mencatat pelbagai kejayaan membanggakan apabila pasukan bawah 7 hingga 16 tahun akademi ini pernah muncul juara dalam Liga Superimau Malaysia, sekali gus membuktikan keberkesanan pendekatan latihan yang sistematik dan berdisiplin.


Selain kejayaan di padang, akademi ini turut memberi penekanan kepada pembangunan holistik pemain muda, termasuk pembentukan sahsiah, semangat berpasukan dan kepimpinan.


Melalui latihan berterusan, program pencarian bakat serta penyertaan dalam kejohanan peringkat kebangsaan, akademi ini kini menjadi antara institusi penting dalam pembangunan bola sepak di Sabah.


Lawatan ini merupakan kunjungan balas oleh NFDP di bawah Football Association of Malaysia dalam usaha memperkukuh hubungan kerjasama strategik antara badan pembangunan bola sepak kebangsaan dan institusi akar umbi.


Hadir menyambut Kim Swee bersama delegasinya yang terdiri daripada jurulatih NFDP Ganasamurthy dan Pengurus Besar NFDP Muhammad Yusof Ibrahim diketuai Pengerusi Jubilo Football Academy Syarulnizam Salleh, Ketua Pegawai Eksekutif Saiful Azua Datuk Golkhan serta Ketua Pegawai Operasi Hasnuddin Datuk Golkhan.


Turut hadir Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak selaku penaung akademi serta barisan kepimpinan Jubilo Football Academy.


Lawatan berkenaan diakhiri dengan penyampaian cenderamata oleh Pengerusi Jubilo Football Academy kepada Datuk Ong Kim Swee, yang disaksikan oleh Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak dan para hadirin.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page