Pendaki Warga Vietnam Cedera Ketika Menuruni Gunung Kinabalu
- nabalunews
- Jun 11
- 1 min read

10 Jun 2025
RANAU : Seorang pendaki wanita warga Vietnam berusia 62 tahun mengalami kecederaan kaki ketika menuruni puncak Gunung Kinabalu pagi tadi. Kejadian berlaku di Kilometer 8.3 apabila mangsa, dikenali sebagai Thi Anh Dao, dipercayai tergelincir hingga mengalami kecederaan serius pada kaki kirinya, berkemungkinan patah.
Insiden itu dilaporkan sekitar jam 8.23 pagi oleh malim gunung yang mengiringi mangsa kepada pihak Mountain Search and Rescue (MoSAR).
Selepas kejadian, malim gunung segera memberikan rawatan awal kepada mangsa dan membawa beliau secara kaedah Piggyback Carry ke Sickbay Panalaban dan mangsa diserahkan kepada anggota MoSAR yang kemudiannya mengambil alih operasi membawa turun wanita tersebut ke Timpohon Gate menggunakan Robinson Stretcher.

Pasukan MoSAR yang terlibat dalam operasi ini terdiri daripada lima anggota utama iaitu PBB Arnold Alim, PBB Almi Joan, PBB Harris Gimbad, PBB Feranideh Medi dan PBB Seveor Sadib. Mereka turut dibantu oleh anggota dari Pasukan Khas Taman-Taman Sabah (PARKSAR), Nurariffin.
Sementara itu, sembilan orang malim gunung turut memainkan peranan penting dalam operasi menyelamat, termasuk Hafiz Soinim, Romeo Jomius, Kuintin, Ivnur, Randy, Anwot, Azizi Latip, Sharulnizam dan Izman Shah.
Mangsa akhirnya diserahkan sepenuhnya kepada pihak Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) untuk tindakan lanjut serta rawatan susulan.

Operasi menyelamat ini ditamatkan pada jam 1.45 petang dengan semua pihak terlibat berjaya menjalankan tugas dengan cekap dan berkoordinasi.
Kejadian ini menjadi peringatan penting kepada semua pendaki agar sentiasa berwaspada, lebih-lebih lagi ketika menuruni kawasan berbatu yang licin di puncak Gunung Kinabalu.
Comments