Pengedar Dadah Ditahan Bersama 51.68 Gram Syabu
- nabalunews
- 5 days ago
- 1 min read

20 Julai 2025
LAHAD DATU: Seorang lelaki yang dipercayai menjalankan aktiviti pengedaran dadah ditahan dalam operasi yang dijalankan di kawasan pesisir pantai Jalan Pantai, di sini, semalam.
Dalam operasi jam 11.30 pagi itu, suspek ditahan bersama 51.68 gram dadah jenis syabu yang dipercayai cuba dijual kepada penagih sekitar daerah ini.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Dzulbaharin Ismail berkata, suspek ditahan sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND), IPD Lahad Datu.
Katanya, operasi yang diketuai Inspektor Romi Asparin itu berjaya menahan suspek selepas dikesan dalam keadaan mencurigakan di dalam sebuah bot berwarna kuning di kawasan berhampiran tandas awam.
“Pemeriksaan terhadap beg silang yang dipakai suspek mengandungi 22 paket plastik lutsinar pelbagai saiz berisi hablur jernih disyaki dadah jenis syabu seberat 51.68 gram.
“Pasukan operasi turut merampas satu paket plastik berisi 10 gulung kertas timah,”’katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.
Menurutnya, ujian saringan air kencing awal yang dijalankan mendapati suspek positif dadah jenis Amphetamine dan Methamphetamine.
Katanya, anggaran nilai rampasan dadah adalah sebanyak RM5,684 dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika disabit kesalahan.
“Siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, kerana penggunaan dadah berbahaya,” katanya.
Comments