Penunggang Motosikal Maut
- nabalunews
- May 11
- 1 min read

11 Mei 2025
SANDAKAN: Seorang penunggang motosikal berusia 25 tahun maut selepas terlibat dalam kemalangan melibatkan dua kenderaan di Batu 15, Jalan Labuk, di sini, petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 6 petang itu, kemalangan membabitkan motosikal mangsa dan sebuah kereta Proton Saga FLX.
Ketua Polis Daerah Sandakan, ACP Ahsmon Bajah berkata, hasil siasatan awal, kereta Proton Saga bergerak dari arah Batu 16 menghala ke Batu 14.
Bagaimanapun katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian, kereta berkenaan dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas masuk ke laluan bertentangan dan merempuh motosikal mangsa.
“Akibat kejadian berkenaan, mangsa yang mengalami kecederaan parah terus dikejarkan ke Hospital Duchess of Kent.
“Mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia semasa menerima rawatan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Comments