- Wartawan Nabalu News
Peranan mantan Ketua Adat penting, penyusunan pelantikan perkara biasa – Ewon
6 Jun 2023
Oleh Wartawan Nabalu News
KOTA BELUD: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata, mantan ketua-ketua adat berperanan penting membantu menjaga kesejahteraan dan memupuk perpaduan dalam kalangan komuniti setempat.
Sehubungan itu Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian itu menyeru mantan ketua-ketua adat kawasan Kadamaian supaya terus berperanan menyumbang idea terutamanya berkaitan adat.
“Ini kerana mereka mempunyai pengalaman dan pengetahuan yang luas dalam undang-undang adat, membantu menyelesaikan masalah di peringkat kampung, menegakkan keadilan dan keharmonian.
“Saya juga berharap agar mereka dapat memberi kerjasama dengan ketua-ketua adat yang akan dilantik di kawasan Kadamaian.
“Penyusunan pelantikan ketua-ketua adat adalah perkara biasa, sama ada melantik mantan ketua adat atau sebaliknya,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Santai Kaamatan Bersama Mantan Ketua-Ketua Adat kawasan Kadamaian, di Pejabat Perhubungan Adun Kadamaian, Sky Blue Kg.Piasau, di sini, pada Sabtu lalu.
Ewon turut merakamkan penghargaan kepada mantan ketua-ketua adat DUN Kadamaian atas perkhidmatan terbaik mereka melaksanakan tanggungjawab.
“Kerajaan mengiktiraf peranan ketua adat kerana mereka bukan sahaja bertanggungjawab menyelesaikan permasalahan dan menegakkan keadilan di peringkat kampung tetapi sentiasa turun padang membantu wakil rakyat menyelesaikan isu-isu yang dihadapi di kawasan masing-masing,” katanya.
Comments