Pertikai prosiding inkues Zara, Mona Din terima notis tunjuk sebab
- nabalunews
- Sep 11
- 1 min read

11 September 2025
KOTA KINABALU: Jabatan Peguam Negara (AGC) menyerahkan Notis Untuk Tunjuk Sebab kepada Che Muna Din berhubung satu hantaran media sosial yang didakwa bersifat menghina mahkamah berkaitan prosiding inkues kematian Zara Qairina Mahathir.
AGC dalam kenyataan hari ini memaklumkan, notis berkenaan diserahkan semalam mengikut Aturan 52 Kaedah 2B, Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012.
Katanya, ia berikutan hantaran di platform Facebook dengan nama akaun “Mona Din’ pada 4 September yang antara lain mempertikaikan keterangan Dr Jessie Hiu, pakar patologi forensik Hospital Queen Elizabeth.
“Daripada penelitian jabatan ini didapati hantaran yang telah dimuat naik oleh Che Muna Din berpotensi untuk mempengaruhi pandangan awam serta menganggu perjalanan prosiding inkues yang sedang berjalan
“Penghantaran notis ini merupakan sebahagian daripada prosedur bagi memulakan prosiding pengkomitan kerana menghina mahkamah,” menurut kenyataan itu.
Dalam pada itu, AGC turut memaklumkan pertuduhan jenayah terhadap beberapa individu lain yang telah membuat kenyataan berkaitan dengan kes yang sama dan berpotensi mempengaruhi pandangan awam serta menganggu prosiding inkues akan dikemukakan dalam masa terdekat.
“Jabatan ini memandang serius sebarang tindakan yang boleh menjejaskan proses keadilan dan tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas mengikut undang-undang,” tambah kenyataan itu.
Orang ramai turut diingatkan supaya tidak memuat naik, mengulas atau menyebarkan sebarang hantaran yang boleh menimbulkan kekeliruan serta mengganggu prosiding mahkamah yang sedang berjalan.


















Comments