top of page

Peruntukan penyenggaraan jalan persekutuan di Sabah dipersoal

  • nabalunews
  • 38 minutes ago
  • 1 min read

4 Februari 2026


KOTA KINABALU: Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor mempersoalkan jumlah peruntukan penyenggaraan jalan persekutuan di Sabah yang disifatkan tidak seimbang berbanding beberapa negeri lain.


Mazlan Joehari Manan merujuk kepada jawapan Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan, berhubung agihan peruntukan setiap negeri pada tahun lalu yang antara lain menyaksikan Johor menerima RM424 juta, Perak RM336 juta, manakala Sabah diperuntukkan RM341 juta.


Beliau mempersoalkan rasional agihan berkenaan memandangkan keluasan Sabah jauh lebih besar berbanding negeri lain, selain keadaan jalan persekutuan di negeri ini yang menurutnya masih memerlukan perhatian serius.


“Adakah Johor dan Perak lebih besar daripada Sabah, atau keadaan jalan di sana jauh lebih teruk berbanding di Sabah?


“Jangan pula isu ini dialihkan kepada jalan-jalan di bawah penyenggaraan Kerajaan Negeri. Berlaku adillah terhadap jalan-jalan persekutuan di Sabah ini,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.


Terdahulu hari ini, Ahmad memaklumkan Dewan Rakyat bahawa Kementerian Kerja Raya (KKR) telah memperuntukkan sebanyak RM2.96 bilion bagi penyenggaraan jalan di bawah seliaan Kerajaan Persekutuan sepanjang tahun 2025, meningkat RM490 juta berbanding tahun sebelumnya.


Daripada jumlah tersebut, RM2.36 bilion diperuntukkan bagi Semenanjung Malaysia, manakala RM595.6 juta disalurkan untuk Sabah, Sarawak dan Labuan.


Bagi Semenanjung Malaysia, Pahang menerima peruntukan tertinggi iaitu RM428.85 juta, diikuti Johor sebanyak RM424.08 juta, Perak RM336.38 juta dan Selangor RM247.15 juta.


Sementara itu, Sabah menerima peruntukan RM341.74 juta, Sarawak RM213.22 juta dan Labuan sebanyak RM40.63 juta.

 
 
 
photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page