top of page

Petisyen Ditolak Atas Teknikal, Harun Kekal ADUN Bengkoka

  • nabalunews
  • 29 minutes ago
  • 1 min read

Romie Stanley DGuns


24 Februari 2026


KOTA KINABALU: Mahkamah Pilihan Raya pada Isnin mengekalkan kemenangan Datuk Harun Durabi sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bengkoka selepas menolak petisyen yang difailkan bagi mencabar keputusan Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) November lalu.


Hakim Mahkamah Pilihan Raya, Datuk Dean Wayne Daly, membenarkan bantahan awal daripada pihak responden dan menolak petisyen yang dikemukakan bekas calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Samuil Mopun, selepas mendapati ia gagal mematuhi keperluan undang-undang.


Kegagalan mematuhi peraturan mandatori di bawah Peraturan-Peraturan Petisyen Pilihan Raya 1954 menyebabkan mahkamah tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar kes ini. Sehubungan itu, kes tidak perlu melalui perbicaraan penuh, dan mahkamah turut memerintahkan kos dibayar kepada semua responden.


Dalam pertandingan 11 penjuru pada 29 November 2025, Harun yang bertanding atas tiket Barisan Nasional (BN) menang tipis dengan majoriti 77 undi. Beliau memperoleh 2,485 undi menewaskan Samuil yang merupakan pencabar terdekat dengan 2,408 undi.


Keputusan ini merupakan keputusan pertama Mahkamah Pilihan Raya bagi petisyen PRN17 Sabah.


Samuil selaku pempetisyen diwakili peguam Jaikol Situn dan Rijolin Molisin. Harun diwakili firma guaman Reduan Aklee manakala responden kedua dan ketiga diwakili Pejabat Peguam Negara.-Romie Stanley DGuns

 
 
 
photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page