Petronas, Kerajaan Sabah perkukuh kerjasama strategik
- nabalunews
- 3 days ago
- 1 min read

3 Mac 2026
KOTA KINABALU: Petroliam Nasional Berhad (Petronas) akan terus memperkukuh kerjasama strategik dengan Kerajaan Sabah dalam usaha membangunkan industri tenaga di negeri ini.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas, Tengku Tan Sri Muhammad Taufik Tengku Aziz, berkata kerjasama berterusan itu mampu mendukung aspirasi Sabah untuk memperkasa sektor tenaga sebagai pemangkin pertumbuhan ekonomi negeri.
“Alhamdulillah, kami berpeluang menyampaikan taklimat mengenai perkembangan terkini operasi serta pelaburan Petronas di Sabah, dan sambutan yang diterima amat positif, khususnya dalam mempergiatkan lagi kerjasama strategik antara kedua-dua pihak.

"Lebih-lebih lagi dalam usaha membangunkan wilayah timur di Sabah, kami tekankan bahawa Petronas berniat untuk bekerjasama serta mendukung aspirasi negeri Sabah untuk membangunkan industri tenaga," katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan kunjungan hormat ke atas Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman, di sini pada Selasa.
Menurutnya, kunjungan itu bertujuan memaklumkan perkembangan terkini operasi serta inisiatif bersama yang dilaksanakan dengan kerajaan negeri, termasuk usaha sama melalui SMJ Energy Sdn Bhd (SMJE).
“Selain itu, kami turut menyentuh mengenai kejayaan dan prestasi usaha sama yang telah dijalankan bersama kerajaan negeri Sabah,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau berkata, beberapa kerjasama baharu telah dikenal pasti dan akan direalisasikan dalam masa terdekat dengan kerajaan negeri, berteraskan prinsip menang-menang demi kepentingan bersama.
Delegasi Petronas turut disertai Naib Presiden Kanan Pengurusan Petroleum Malaysia Datuk Ir Bacho Pilong, Naib Presiden Perhubungan dan Komunikasi Strategik Kumpulan Ir Norafizal Mat Saad, Ketua Pembantu Eksekutif bagi Presiden dan CEO Kumpulan M Johan Ariff M Supian, serta Pengurus Besar Pejabat Wilayah Petronas Sabah dan Labuan, Siti Ayu Abdul Wahab.















Comments