top of page

PGA Laksana 35 Serbuan, Rampas RM25.7 Juta

  • nabalunews
  • 14 hours ago
  • 1 min read


2 Mei 2025


KOTA KINABALU: Pasukan Gerakan Am (PGA) berjaya merampas pelbagai barangan seludup bernilai RM25.7 juta termasuk cukai menerusi 35 serbuan yang dilaksanakan sepanjang bulan April.


Komander PGA Sabah, Datuk Abdul Rani Alias berkata, sepanjang operasi berkenaan, pihaknya turut berjaya menahan 81 individu yang terlibat dalam aktiviti pengedaran dan penyeludupan.


Katanya, antara barangan yang berjaya dirampas melibatkan rokok seludup, minyak sawit mentah (CPO), makanan sejuk beku tanpa pensijilan halal dan permit import sah.


“Antara rampasan terbesar melibatkan serbuan di sebuah premis tidak bernombor di Jalan POIC, Lahad Datu, apabila sebanyak 104.543 tan minyak sawit tanpa lesen sah dirampas.


“Nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM2.09 juta dan kes disiasat mengikut Ordinan Perlesenan Peraturan 5 (1)(D), Peraturan-Peraturan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (Pelesenan) 2005,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.


Menurutnya, serbuan kedua pula melibatkan rampasan 3.096 juta batang rokok putih dan kretek pelbagai jenis di serbuan premis di Jalan Dam, Lahad Datu.


Katanya, dalam serbuan berkenaan, dua lelaki tempatan turut ditahan untuk siasatan mengikut Akta Kastam 1967 kerana disyaki menyimpan dan mengedar rokok tanpa cukai kastam.


“Rampasan kali ini dianggarkan bernilai RM9.319 juta termasuk cukai dan sebuah van yang digunakan untuk kegiatan berkenaan,” katanya.


Abdul Rani berkata, antara individu yang ditahan sepanjang operasi berkenaan pula melibatkan 36 warga tempatan, 17 warga Filipina, 25 (China), dua (Pakistan) dan seorang warga Indonesia.


Sementara itu, Abdul Rani berkata, pihak PGA akan terus menjalankan tanggungjawab bagi menjaga serta mengawal keselamatan negara dan ketenteraman awam.


Katanya, pihak polis juga berharap agar orang ramai dapat menjadi mata dan telinga dalam menyalurkan maklumat berkaitan kes penyeludupan dan jenayah di kawasan setempat.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page