PGRS DUN Sri Tanjong buat laporan polis terhadap Fahmi Reza
27 Disember 2024
Oleh: Wartawan Nabalu News
TAWAU: Pemuda Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) DUN Sri Tanjong hari ini membuat laporan polis terhadap aktivis politik yang juga pereka grafik, Fahmi Reza berhubung tindakannya yang didakwa menghina Tuan Yang Terutama (TYT) Sabah melalui karikatur provikasi yang tular di media sosial.
Laporan polis dibuat bersama Pemuda PGRS Bahagian Zon 12 yang meliputi Balung, Apas, Sri Tanjong, Kukusan, Merotai, Sebatik dan Tanjung Batu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau kira-kira jam 4.30 petang.
Dalam kenyataan media mereka yang dimuat-naik di laman facebook Pemuda Gagasan rakyat Sabah N.69 Sri Tanjong, laporan polis berkenaan dibuat atas dasar mempertahankan martabat institusi Yang di-Pertua Negeri Sabah yang menjadi simbol kedaulatan negeri serta perpaduan rakyat Sabah.
Menurut mereka, pihak Pemuda PGRS memandang serius tindakan individu tersebut yang dianggap melampaui batas dan tidak menghormati kedudukan serta peranan TYT sebagai Ketua Negeri.
“Pemuda Gagasan Rakyat Sabah (GRS) percaya bahawa kebebasan bersuara tidak seharusnya disalahgunakan untuk tujuan menghina atau mencemarkan nama baik mana-mana pihak, lebih-lebih lagi institusi penting negeri seperti TYT,”kata kenyataan tersebut.
Dalam kenyataan itu juga, Pemuda PGRS turut menggesa pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan segera terhadap perkara tersebut dan mengambil tindakan tegas, sekiranya didapati melanggar undang-undang.
“Kami juga menyeru rakyat Sabah untuk bersama-sama mempertahankan keharmonian negeri dengan menolak tindakan provokatif yang boleh mencetuskan perpecahan atau ketegangan. Hormatilah prinsip undang-undang dan sensitiviti masyarakat kita,”menurut kenyataan itu lagi.
Menurut mereka, Pemuda PGRS komited untuk terus memperjuangkan kepentingan rakyat Sabah dan mempertahankan kedaulatan negeri dari sebarang cubaan mencemar institusi-institusi utama.
Fahmi Reza dilaporkan tiba di Kota Kinabalu hari ini apabila dilihat memuat-naik gambarnya di hadapan bangunan Maybank Jalan Pantai sambil memegang poster karikatur provokasi berbentuk hinaan terhadap Tun Musa Aman.
תגובות