PKPD DI K-AVENUE MEGACITY, PENAMPANG BERMULA 22 NOVEMBER

20 Nov 2020
Oleh Wartawan Nabalu News
KOTA KINABALU: Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di K-Avenue, Megacity, Penampang akan dilaksanakan bermula 22 November sehingga 5 Disember ini.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun berkata, pelaksanaan PKPD itu merangkumi pejabat, kuarters pekerja dan tapak pembinaan melibatkan sebanyak 400 orang penduduk.
“Atas nasihat dan penilaian risiko yang dilaksanakan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), sidang khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) hari ini bersetuju untuk melaksanakan PKPD di K-Avenue, Megacity, Penampang, bermula 22 November sehingga 5 Disember ini,” katanya pada sidang akhbar, di sini, hari ini.
Masidi berkata, pelaksanaan PKPD itu juga berikutan peningkatan kes positif Covid-19 di kawasan berkenaan.
“Sehingga 16 November, sebanyak 110 kes positif Covid-19 telah direkodkan di lokaliti ini,” katanya.
Beliau berkata, prosedur operasi standard (SOP) PKPD di Sabah adalah sama seperti yang diumumkan sebelum ini antaranya pergerakan keluar masuk dari kawasan PKPD tidak dibenarkan kecuali bagi kes-kes kecemasan dengan kebenaran daripada PDRM.
Selain itu katanya, bekalan makanan kepada yang memerlukan akan diagih dan dikoordinasi oleh Pusat Kawalan Operasi Bencana Daerah.
“Seorang wakil dari setiap rumah turut dibenarkan keluar dari kawasan PKPD dengan kebenaran PDRM khusus untuk mengeluarkan wang dari mesin ATM / bank dan membeli keperluan asas dan non-food items,” katanya.
Comments