Polis Tahan Runner ‘Thai Mango’
- nabalunews
- 5 hours ago
- 1 min read

23 Oktober 2025
KOTA KINABALU: Polis berjaya menahan seorang lelaki yang dipercayai bertindak sebagai 'runner' kepada sindiket pengedaran dadah dalam operasi serbuan di kawasan Penampang, semalam.
Dalam operasi jam 11.25 malam itu, lelaki
berusia 34 tahun itu ditahan sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah bersama Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Penampang.
Ketua JSJN Sabah, Asisten Komisioner Alhusin Halil berkata, hasil risikan selama hampir 30 minit, suspek yang dipercayai sedang menunggu pelanggan terus ditahan untuk pemeriksaan di kawasan berkenaan.
Katanya, suspek kemudiannya menyerahkan satu plastik hitam yang dipegangnya kepada pasukan operasi.
“Pemeriksaan menemui empat paket plastik putih bergambar buah-buahan bertulis Thai Mango berisi serbuk disyaki dadah jenis ekstasi seberat 135.86 gram.
"Pemeriksaan lanjut turut menemui satu paket kecil plastik lutsinar berisi 2.32 gram serbuk disyaki ketamin," katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurutnya, jumlah keseluruhan rampasan dadah dianggarkan seberat 138.18 gram dengan nilai pasaran sekitar RM3,350.
"Turut disita, sebuah kereta jenis Nissan Almera dan satu telefon bimbit yang dipercayai digunakan bagi kegiatan pengedaran dadah terbabit.
"Hasil ujian saringan awal air kencing mendapati suspek positif dadah jenis Methamphetamine dan Benzodiazepine," katanya.
Beliau berkata, siasatan lanjut mendapati suspek mengaku menjadi runner kepada seorang lelaki sejak September lalu yang dikatakan menguruskan pengedaran ‘jus’ bercampur dadah dan pil ekstasi di pusat hiburan sekitar Kota Kinabalu dan Penampang.
"Polis kini giat mengesan individu terbabit yang dipercayai dalang utama sindiket berkenaan.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 39B dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.
Comments