Polis Tahan Suami Isteri dan Dua Pekerja Bersama 20.7 Kg Dadah
- nabalunews
- 3 days ago
- 2 min read

9 September 2025
KOTA KINABALU: Polis berjaya menumpaskan rangkaian pengedaran dadah selepas menahan sepasang suami isteri dan dua pekerja syarikat kurier dalam serbuan di sebuah premis perniagaan di Taman Sri Kepayan, di sini, pada 4 dan 5 September lalu.
Berdasarkan siasatan, pasangan suami isteri terbabit dipercayai menggunakan perniagaan kurier bagi mengaburi kegiatan pengedaran dadah mereka.
Hasil serbuan, polis berjaya merampas sebanyak 20.7 kilogram dadah bersama beberapa kereta mewah termasuk jenis Lamborgini Avantador yang mencecahkan jumlah keseluruhan bernilai RM4.21 juta.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, hasil serbuan, suspek pertama iaitu pengurus syarikat berusia 36 tahun ditahan bersama 20.7 kilogram dadah jenis ketamin yang disimpan di dalam premis syarikat kurier berkenaan.
Katanya, hasil soal siasat, polis kemudiannya menahan seorang lelaki berusia 47 tahun yang juga kerani operasi di syarikat berkenaan pada jam 12.05 tengah malam di kawasan Yusang, Kepayan.
“Susulan kejayaan itu, polis akhirnya berjaya menahan pasangan suami isteri berusia 47 dan 46 tahun yang juga pemilik syarikat berkenaan untuk siasatan lanjut.

“Semua suspek ditahan reman untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1953,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Sabah, di sini, hari ini.
Jauteh berkata, berdasarkan siasatan, pengurus syarikat terbabit berperanan untuk menguruskan sindiket pengedaran parcel barang menggunakan khidmat kargo udara.
“Manakala, suspek kedua pula berperanan untuk membantu dan memudahkan tindakan parcel keluar daripada gudang kargo udara.

“Hasil tangkapan ini, polis juga berjaya merampas enam kenderaan mewah, wang tunai serta peralatan komputer yang dipercayai hasil daripada kegiatan pengedaran dadah berkenaan,” katanya.
Sehubungan itu, Jauteh berkata, pihak polis akan terus menjalankan siasatan lanjut bagi mengenalpasti rangkaian pengedaran dadah berkenaan.
Katanya, kerjasama orang ramai juga amat diperlukan dalam usaha membanteras kegiatan berkenaan daripada terus berleluasa.
“Sebarang maklumat boleh disalurkan dengan menghubungi talian Hotline Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) ditalian 012-208 7222,” katanya.
Comments