PPT berjaya kumpul dana RM320, 000 pada Majlis Makan Malam Kutipan Dana
- nabalunews
- 11 hours ago
- 1 min read

3 September 2025
TAWAU: Sambutan Hari Wartawan 2025 dan Majlis Makan Malam Kutipan Dana anjuran Persatuan Pemberita Tawau (PPT) mencipta detik istimewa apabila berjaya mengumpul dana RM320, 000 untuk pembelian premis bangunan baharu.
Presiden PPT Tan Chin Cheng, menyifatkan detik itu sebagai satu titik penting kepada perjalanan pembangunan persatuan sejak ditubuhkan pada 1996 apabila kutipan melangkaui sasaran awal dan mencatat pencapaian amat membanggakan.
Katanya, kejayaan itu juga merupakan satu permulaan baik untuk merealisasikan hasrat PPT membeli premis baharu di bangunan Garden City, Jalan Chong Thien Vun.
“Premis baharu ini bakal menjadi pusat aktiviti lebih selesa dan strategik,”katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Tan berkata, kejayaan majlis tersebut yang mampu mengumpul kutipan dana dengan jumlah rasmi RM320, 000 ketika situasi ekonomi masih mencabar ketika ini, merupakan bukti nyata pengiktirafan masyarakat terhadap PPT.
Tambahnya, sokongan padu pelbagai pihak mencerminkan keyakinan dan kepercayaan masyarakat terhadap peranan serta tanggungjawab para wartawan, khususnya di daerah Tawau.
“Dana yang berjaya dikumpul ini bukan sekadar wang ringgit, tetapi melambangkan semangat kebersamaan dan kepercayaan yang tinggi daripada masyarakat.
“Sokongan inilah yang menjadi pemangkin untuk persatuan terus maju di masa hadapan serta memberi khidmat lebih baik kepada ahli-ahlinya dan masyarakat Tawau,”katanya.
Beliau turut melahirkan ucapan penghargaan kepada semua pertubuhan, syarikat korporat serta individu yang bermurah hati menyumbang dan menjayakan majlis di Dewan SJK (C) Yuk Chin pada Isnin lalu.
Comments