PRK Kinabatangan, Lamag: SPR tubuh empat pasukan pemantau
- nabalunews
- 22 hours ago
- 1 min read

10 Januari 2025
KINABATANGAN: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menubuhkan empat Pasukan Penguat Kuasa Kempen Pilihan Raya (PP-KPR) bagi memantau semua aktiviti calon- calon yang bertanding ketika kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Kinabatangan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag.
Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun berkata, seramai 39 orang pemerhati pilihan raya daripada sembilan organisasi telah mengambil bahagian dalam PRK Kinabatangan dan PRK DUN Lamag, untuk menentukan ketelusan pilihan raya yang diadakan.
Menurutnya, tempoh berkempen bermula sejurus pengisytiharan calon oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya dan akan berakhir pada jam 11.59 malam, 23 Januari ini.
“Calon-calon yang membayar deposit bahan kempen pilihan raya tertakluk kepada undang-undang kecil pihak berkuasa tempatan bagi tujuan mempamer dan mengedarkan bahan kempen yang mengandungi gambar calon, lambang atau simbol parti dan gambar pemimpin parti yang diwakilinya.
“Bahan kempen yang boleh digunakan seperti iklan, surat sebaran, pelekat dan poster hendaklah mengandungi nama dan alamat pencetak dan penerbitnya kecuali bendera, poster simbol parti dan gambar pemimpin parti atau calon yang bertanding,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Beliau berkata, bahan kempen mengandungi perkataan yang boleh mengembangkan perasaan jahat, berunsur perkauman dan menyentuh sensitiviti keagamaan atau hasutan yang boleh mendatangkan permusuhan adalah tidak dibenarkan.
Dalam masa sama, katanya, SPR turut berharap supaya aktiviti berkempen yang dibenarkan akan berjalan dalam suasana yang penuh harmoni serta mengikut undang- undang serta peraturan yang ditetapkan.


















Comments