PRN Sabah Berlangsung 29 November Depan
- nabalunews
- 2 days ago
- 1 min read

16 Oktober 2025
KOTA KINABALU: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri (PRN) Sabah ke-17 akan diadakan bagi mengisi kekosongan 73 kerusi DUN negeri itu.
Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun, berkata tarikh penamaan calon ditetapkan pada 15 November (Sabtu), manakala pengundian awal pada 25 November, dan hari mengundi pada 29 November 2025.
“Sehubungan itu, urusan permohonan bagi semua kategori undi pos luar dan dalam negara dibuka mulai hari ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas SPR bagi PRN Sabah ke-17 di sini, hari ini.
Ramlan berkata, tempoh berkempen ditetapkan selama 14 hari, bermula dari tarikh pengisytiharan calon yang bertanding pada 15 November hingga jam 11.59 malam 28 November.
Beliau berkata, Daftar Pemilih Pilihan Raya (DPPR) yang akan digunakan untuk PRN itu ialah Daftar Pemilih Tambahan Ogos 2025, yang dikemas kini sehingga Oktober 2025.
Menurutnya, seramai 1,784,843 pengundi berdaftar layak menunaikan tanggungjawab masing-masing, terdiri daripada pengundi biasa, anggota polis dan pasangan mereka.
Katanya, bagi melaksanakan PRN itu, SPR akan melantik 25 Pegawai Pengurus dan 156 Penolong Pegawai Pengurus Pilihan Raya di seluruh Sabah.
“SPR juga akan menubuhkan sebanyak 86 Pasukan Penguat Kuasa Kempen Pilihan Raya (PP-KPR) bagi memantau perjalanan kempen calon bertanding, dengan keanggotaan merangkumi wakil polis, pihak berkuasa tempatan (PBT) serta calon bertanding,” katanya.
Comments