Program Gotong-Royong Perdana Kampung Kiau Taburi dapat sokongan
24 September 2024
KOTA BELUD: Program Gotong Royong Perdana yang dijadualkan berlangsung di Kampung Kiau Taburi, Kota Belud pada 28 September ini bertujuan mempertingkatkan aspek kebersihan dan keindahan kampung.
Program ini juga dapat mengeratkan lagi hubungan silaturahim antara penduduk menerusi kesepakatan untuk bekerjasama menjayakan program gotong-royong berkenaan.
Bagi menyokong penganjuran dan memastikan kelancaran program gotong-royong berkenaan, satu majlis penyerahan sumbangan telah diadakan hari ini.
Sumbangan disampaikan oleh Pegawai Kemajuan Masyarakat Kadamaian, Juin Kolod yang mewakili Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian Datuk Ewon Benedick.
Sumbangan diterima oleh Justin Dalansu yang mewakili Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kiau Taburi.
Sumbangan ini dijangka akan digunakan bagi menyediakan peralatan serta logistik yang diperlukan untuk memastikan kelancaran program.
Justin amat berterima kasih atas sumbangan ini yang bakal membantu melancarkan persiapan dan pelaksanaan program gotong-royong tersebut.
Komitmen serta sokongan daripada pemimpin dan pihak berkuasa tempatan ini mencerminkan kepentingan usaha bersama dalam memperkasa komuniti di peringkat akar umbi.
Diharapkan program ini akan berlangsung dengan jayanya dan memberi manfaat besar kepada seluruh penduduk Kampung Kiau Taburi.
Comentarios