top of page

Program Pembangunan Tamu Desa di Sabah berjalan ikut jadual - Ewon

Wartawan Nabalu News
Ewon (tengah) melakukan simbolik pecah tanah pembangunan Tamu Desa di Kg.Rangalau, Kota Belud, turut kelihatan Azizul (kanan).

22 Julai 2024

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA BELUD: Program Pembangunan Tamu Desa Fasa Pertama di Sabah sedang dilaksanakan dan berjalan mengikut jadual yang ditetapkan, kata Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick.


Beliau berkata, secara keseluruhannya bagi fasa pertama, sebanyak 36 tapak Tamu Desa di 16 daerah di negeri ini akan dinaik taraf atau bina baharu melibatkan peruntukan sebanyak RM7.005 juta.


“Daripada jumlah itu 14 tapak tamu desa di akan dibina baharu atau dinaiktaraf di daerah Kota Belud melibatkan peruntukan sebanyak RM2.95 juta,” katanya.


Beliau berkata demikian selepas menghadiri Taklimat Pelaksanaan Program Pembangunan Tamu Desa daerah Kota Belud, di Pejabat Daerah, di sini, hari ini.



Ewon ketika menghadiri Taklimat Pelaksanaan Program Pembangunan Tamu Desa daerah Kota Belud.

Ewon juga memohon supaya Pegawai Daerah yang dilantik sebagai Pegawai Penguasa Projek Tamu Desa dapat mengambil tindakan bagi memastikan pelaksanaan projek ini berjalan lancar.


“Pejabat Daerah telah diberi tanggungjawab sebagai agensi pelaksana yang akan melaksanakan Projek Tamu Desa mengikut skop kerja yang telah ditetapkan dan memastikan projek ini dapat disiapkan sepenuhnya tahun ini juga,” katanya.


Beliau berharap apabila siap kelak, Tamu Desa ini akan memberi keselesaan dan kemudahan yang lebih baik kepada para peniaga kecil-kecilan di tamu-tamu komuniti.


“Saya akan memantau pelaksanaan projek ini agar berjalan lancar mengikut jadual yang telah ditetapkan,” katanya.

Selepas taklimat itu, Ewon yang juga yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian turut melawat tapak Tamu Desa di Kg.Rangalau dan menyempurnakan majlis ringkas Pecah Tanah sebagai permulaan pelaksanaan pembangunan Tamu Desa di kampung itu.


Beliau kemudiannya meninjau kerja-kerja awal pembangunan Tamu Desa di Kg.Gaur dan Tamu Desa Sosondoton Kg.Piasau yang kini sedang berjalan lancar.

Antara tapak Tamu Desa di kawasan Kota Belud yang akan dibina dan dinaiktaraf ialah Tamu Desa Sosondoton Piasau, Bazaar Sayap, Tamu Desa Kg.Takulung, Tamu Desa Layu Nahaba, Tamu Desa Kg.Gaur, Kg.Pinolobu, Kg.Sumbilingon, Kg.Sarang, Kg.Rangalau, Pekan Taginambur, Kg.Melangkap, Kg.Lasau, Kg, Kiau Taburi dan Tamu Desa Kg.Lompios.


Turut serta dalam lawatan itu, Setiausaha Bahagian Koperasi, Penjaja dan Peniaga Kecil KUSKOP Azizul Alias.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page