top of page

Program pembasmian kemiskinan harus meliputi semua termasuk kawasan bandar: Jannie

  • Wartawan Nabalu News
  • Mar 22, 2022
  • 2 min read


22 Mac 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kapayan Jannie Lasimbang berkata, program-program pembasmian kemiskinan di Sabah harus meliputi semua kawasan termasuk bandar.


Beliau berkata, selain memberi tumpuan membasmi kemiskinan di luar bandar, kerajaan juga harus menangani kemiskinan bandar.


“Saya ingin bertanya tentang 10 kampung yang dipilih untuk menjadi perintis pembasmian miskin tegar di Sabah.


“Apakah asas pemilihan kampung ini dan adakah terdapat data asas bagi kampung-kampung tersebut? Nampaknya pembasmian kemiskinan juga hanya dilihat dari perspektif luar bandar. Adakah terdapat dasar dan program untuk menangani kemiskinan bandar,” kata Jannie.


Beliau berkata demikian dalam perbahasan Dasar Kerajaan pada persidangan dewan undangan negeri, di sini, hari ini


Mengenai Dasar Kerajaan 2022, Jannie berkata satu komponen penting yang tidak disentuh ialah dasar menangani kesihatan mental terutamanya semasa fasa pemulihan.


“Ini kerana Sabah mempunyai isu kesihatan mental tertinggi di Malaysia. Apakah dasar dan peruntukan belanjawan untuk ini?,” katanya.

Mengenai pembangunan wanita, beliau berkata, pendekatan holistik mesti diguna pakai di mana semua dasar dan program pembangunan harus sensitif gender bagi memastikan ia seimbang antara lelaki dan wanita.


“Tumpuan sepatutnya adalah untuk memastikan jantina diarusperdanakan dalam keseluruhan jentera kerajaan yang merancang dan menyampaikan pembangunan.


“Sudah tiba masanya menggalakkan pendekatan yang lebih inklusif terhadap pembangunan wanita kerana selain ibu tunggal, terdapat ramai wanita lain yang keluarganya memerlukan sokongan untuk menjamin kualiti hidup yang lebih baik,” katanya.


Janne turut mempersoalkan dasar yang digunapakai untuk mempromosikan wanita dalam kepimpinan utama membuat keputusan.


“Adakah kerajaan bersetuju menggunakan kuota 30 peratus? Kebanyakan masyarakat luar bandar, cenderung stereotaip dari segi peranan wanita dalam kepimpinan masyarakat contohnya JPKK, di mana jawatan seperti setiausaha atau biro kebajikan diberikan kepada wanita.


“Pengukuran kepimpinan wanita perlu dilihat melalui bilangan wanita yang memegang jawatan Pengerusi dalam JPKK atau bilangan wanita yang dilantik sebagai ketua adat,” katanya.


Mengenai rancangan untuk menubuhkan 400,000 hektar ladang hutan menjelang 2035, Jannie mempersoalkan lokasi tanah untuk ladang hutan tersebut.


“Kerisauan saya ialah jika ini melibatkan pindaan Enakmen Hutan bagi membolehkan hutan semulajadi dijadikan ladang hutan. Adakah kemungkinan ini boleh menjadi satu strategi untuk membalak dengan alasan menanam pokok di hutan simpan?


“Kita harus sedar bahawa perladangan bukanlah cara pembangunan mampan seperti yang ditunjukkan dalam sektor kelapa sawit di mana kita bergantung kepada buruh asing tetapi rakyat Sabah pula kekal menganggur,” katanya.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page