top of page

Program Professor@School Perkasa Pembelajaran STEM Murid SK Rampayan Menggatal

  • nabalunews
  • 7 hours ago
  • 2 min read

ree

11 Disember 2025


KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) melalui U-Science dengan kerjasama Fakulti Sains dan Teknologi (FST) melaksanakan Program Professor@School bersama Sekolah Kebangsaan (SK) Rampayan Menggatal, di sini, baru-baru ini.


Penyelaras program Ts. Dr. Roslina Jawan berkata, program yang diadakan dalam tiga siri berasingan itu bertujuan memberi pendedahan awal kepada murid sekolah rendah mengenai dunia sains dan teknologi melalui pembelajaran interaktif, demonstrasi eksperimen dan aktiviti praktikal (hands-on).


“Ia bagi memberi peluang kepada murid untuk merasai pengalaman pembelajaran STEM yang lebih autentik dan menyeronokkan.


“Kami mahu murid melihat bahawa sains bukan sekadar teori, tetapi sesuatu yang dekat dengan kehidupan harian,” katanya dalam satu kenyataan di sini.


Menurut Roslina, siri pertama dan dua diadakan di SK Rampayan manakala siri terakhir diadakan bertempat di FST UMS.


Dalam pada itu, Naib Canselor UMS ketika merasmikan program itu berkata, pendedahan awal terhadap STEM amat penting dalam membina pemikiran dan jati diri generasi muda.


“UMS komited memperkukuh hubungan universiti dan komuniti, khususnya melalui program pendidikan STEM yang dapat membuka horizon baharu kepada murid.


“Penganjuran tiga siri Professor@School ini membuktikan komitmen UMS dalam memperkasa pendidikan STEM di peringkat akar umbi.


“Program ini diharap mampu meningkatkan minat, memupuk rasa ingin tahu dan membuka peluang yang lebih luas kepada murid untuk meneroka bidang sains, teknologi dan inovasi pada masa hadapan,” ujarnya lagi.


Antara pengisian program tersebut termasuklah pengenalan terhadap bidang Bioteknologi, literasi Matematik dan lukisan mural bertemakan STEM, serta ceramah motivasi.


Hadir sama Guru Besar SK Rampayan, Ropinah Moktar; Dekan FST, Profesor Ts. Gs. Dr. Rodeano Roslee; Pengarah Institut Penyelidikan Bioteknologi, Prof. Dr. Jualang Azlan Gansau, Ketua Pustakawan Jabatan Perpustakaan UMS, Haji Zawawi Tiyunin; dan Pengarah Pusat Kokurikulum dan Pemajuan Pelajar UMS, Profesor Madya Dr. Jurry Foo.


Yang turut hadir Timbalan Dekan Akademik dan Antarabangsa FST, Ts. Dr. Mohamad Zul Hilmey Makmud; Pengarah Pusat Komunikasi Korporat, Dr. Rizal Zamani Idris; warga sekolah dan jawatankuasa program.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page