Projek naik taraf bumbung Pasar Sin On Tawau siap sepenuhnya
- nabalunews
- Nov 1, 2025
- 1 min read

1 November 2025
TAWAU: Projek menaik taraf bumbung Pasar Sin On Tawau kini siap sepenuhnya dan papan tanda bahawa juga sudah dipasang, kata Ahli Jawatankuasa DAP Sabah, Philip Yap Wui Lip.
Beliau yang juga Ahli Majlis Perbandaran Tawau (MPT) berkata, kawasan luar pasar tersebut juga bakal dibina bumbung tempat letak kereta dalam masa terdekat bagi memudahkan pengunjung.
“Apabila siap kelak, orang ramai boleh meletak kenderaan dan membeli-belah tanpa perlu risau tentang panas terik atau hujan,”katanya hari ini.
Beliau merakamkan penghargaan kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming kerana meluluskan projek pembangunan itu.
Beliau juga menzahirkan rasa terima kasih kepada pasukan DAP Tawau atas usaha mereka untuk memastikan para peniaga dan penduduk dapat berniaga serta membeli-belah dalam suasana yang lebih selesa dan selamat.
Dalam pada itu, Philip menyatakan Pasar Sin On adalah pasar awam milik MPT dan bukanlah pasar swasta.
Menurutnya, kerja-kerja penyelenggaraan harian seperti kebersihan dan pembaikan diserahkan kepada kontraktor swasta tetapi kerja naik taraf berskala besar adalah tanggungjawab MPT dengan peruntukkan kerajaan.
“Misalnya bagi projek penggantian bumbung dan pembinaan bumbung tempat letak kereta,”jelasnya berhubung dakwaan pihak tertentu yang mengatakan bahawa Pasar Sin On adalah pasar swasta dan tidak sepatutnya menggunakan peruntukkan kerajaan untuk kerja naik taraf.
Mengulas lanjut, beliau berkata, projek tersebut memberi manfaat secara langsung kepada rakyat Tawau, terutamanya para peniaga dan pengunjung yang menggunakan pasar itu setiap hari.
Tambahnya, pasukan DAP Tawau bersama MPT akan terus memantau serta memperjuangkan pembangunan tempatan bagi menjadikan Tawau sebuah bandar yang lebih selesa dan lebih sejahtera untuk semua.


















Comments