PRU Sabah: 1.7 juta pengundi bakal mengundi esok
- nabalunews
- 3 hours ago
- 2 min read

28 November 2025
KOTA KINABALU: Seramai 1,742,934 orang pengundi bakal mengundi dalam Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Sabah (PRU) ke-17 yang berlangsung esok.
Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Khairul Shahril Idris berkata, pihaknya berharap semua pengundi menjalankan tanggungjawab mereka dengan keluar mengundi.
Katanya, pengundi dinasihatkan untuk tidak keluar mengundi pada saat-saat akhir dan digalakkan supaya keluar mengundi mengikut masa keluar mengundi yang digalakkan seperti tercatat pada aplikasi MySPR Semak.
“Bagaimanapun, pengundi masih boleh keluar mengundi mengikut kelapangan masa dari jam 7.30 pagi hingga 5.30 petang atau mengikut waktu pusat mengundi yang diwartakan.
“Pengundi juga diingatkan supaya membawa kad pengenalan dan catatan maklumat pengundian serta menunjukkannya kepada Kerani Pengundian Pertama (KP1) di saluran bagi memudahkan proses semakan nama,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Khairul Shahril, seramai 28,533 orang petugas akan bertugas bagi proses pengundian manakala sebanyak 882 pusat mengundi serta 3,559 saluran akan dibuka untuk tujuan pengundian esok.
Jelasnya, semua pengundi, calon dan petugas yang ingin memasuki pusat mengundi dilarang memakai baju, topi, pelitup separuh muka atau membawa material yang mempunyai nama, lambang, simbol, gambar parti dan calon bertanding.
Larangan itu turut termasuk bahan kempen serta sebarang slogan kempen membawa maksud sokongan atau cenderung kepada mana-mana fahaman politik.
“Kegagalan pengundi mematuhi atau melanggari peruntukan yang ditetapkan boleh menyebabkan pengundi dilarang dari memasuki pusat mengundi oleh petugas pilihan raya.
“Selain itu, penggunaan telefon bimbit di tempat mengundi juga tidak dibenarkan dan pengundi yang membawa telefon perlu meletakkannya di tempat khas selepas menerima kertas undi dan mengambilnya semula selepas selesai mengundi,” ujarnya.
Khairul Shahril berkata, pelaksanaan tatacara pengundian baharu ini boleh dirujuk menerusi poster Tatacara 10 Langkah Pengundian yang menjelaskan proses pengundian sepenuhnya termasuk keperluan menjaga kerahsiaan undi.
Beliau turut menasihatkan pengundi agar membuat semakan awal mengenai pusat dan saluran mengundi serta nombor bilangan melalui portal semakan di pautan https://mysprsemak.spr.gov.my, hotline SPR di talian 03-88927018 atau melalui aplikasi MySPR Semak.
Pengundi diingatkan supaya tidak menyerahkan kad pengenalan kepada individu selain petugas pilihan raya, manakala para majikan diminta memberikan masa munasabah kepada pekerja berdaftar untuk keluar mengundi seperti diperuntukkan bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.
Dalam masa sama, beliau sekali lagi mengingatkan semua pihak yang bertanding bahawa tempoh rasmi berkempen akan tamat pada jam 11.59 malam ini.
“Selepas tempoh itu berakhir, semua pihak hendaklah menghentikan sebarang bentuk aktiviti berkempen termasuk aktiviti merayu undi termasuklah di luar pusat mengundi dan juga melalui saluran media sosial seperti Facebook, X, Instagram, TikTok, Threads dan lain-lain.
“SPR juga mengingatkan bahawa semua parti atau calon bertanding adalah dilarang untuk membuka, membina atau menyelenggara barung pada hari mengundi kerana perkara tersebut merupakan satu kesalahan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954,” katanya.


















Comments