top of page

Pusat Pengkomposan Komuniti Kg Kiau Nuluh beri nilai tambah keusahawanan desa - Ewon

  • nabalunews
  • 2 hours ago
  • 2 min read

14 Februari 2026


KOTA BELUD: Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan, Datuk Ewon Benedick berkata, Pusat Pengkomposan Komuniti Kampung Kiau Nuluh yang dibangunkan oleh Universiti Malaysia Sabah (UMS) mampu memberi nilai tambah kepada aktiviti ekonomi dan keusahawanan desa kampung itu.


Beliau berkata, inisiatif UMS yang dikenali sebagai “The Brain of Borneo” wajar dihargai kerana bukan sahaja membantu mengurus sisa secara lestari, malah berpotensi memperkasa ekonomi komuniti setempat.


“Saya percaya usaha ini akan memberi nilai tambah kepada aktiviti ekonomi dan keusahawanan desa di kampung ini.


“Saya juga berharap lebih ramai usahawan dapat membangunkan potensi kampung masing-masing dan seterusnya memperluaskan perusahaan ke tempat lain,” katanya ketika berucap menyempurnakan perasmian pusat berkenaan di Kg. Kiau Nuluh, di sini, hari ini.

Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian berkata, inisiatif di Kampung Kiau Nuluh membuktikan sisa pemprosesan nanas yang sebelum ini dianggap bahan buangan boleh ditukar menjadi baja organik melalui kaedah pengkomposan.


Katanya, pendekatan itu bukan sahaja mengurangkan masalah sisa, malah menyokong kelangsungan sektor pertanian tempatan.


“Inisiatif pengkomposan komuniti ini mencerminkan amalan ekonomi kitaran di peringkat akar umbi, di mana sumber tempatan dimanfaatkan secara optimum untuk memberi nilai tambah kepada komuniti,” katanya.

Beliau berharap tapak pengkomposan komuniti berkenaan dapat dimanfaatkan sepenuhnya dan diurus secara berterusan oleh penduduk setempat agar menjadi contoh komuniti lestari serta inspirasi kepada kampung lain di seluruh negeri.


Sementara itu, Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor berkata, projek berkenaan merupakan hasil pelaksanaan Geran UniMADANI melalui Program Pendayaan Komuniti yang menekankan peranan universiti awam sebagai rakan pembangunan masyarakat.


Teks ucapan beliau disampaikan oleh Prof. Dr. Coswald Stephen Sipaut @ Mohd Nasri, Penolong Naib Canselor (Jaringan Industri & Komuniti) merangkap Pengarah Pusat Kolaborasi dan Libatsama Industri.

“Universiti bukan sekadar pusat pengajian dan penyelidikan, malah turut turun padang berkongsi kepakaran dan teknologi bagi membantu komuniti meningkatkan kesejahteraan hidup serta memperkukuh ekonomi setempat,” katanya.


Program UniMADANI di UMS diselaraskan oleh Pusat Kelestarian Libatsama Masyarakat dengan pelaksanaan projek diketuai Fakulti Kejuruteraan.


Projek bertemakan Pengkomposan sebagai Sumber Pendapatan Komuniti Tertumpu Kampung Kiau, itu memanfaatkan sisa organik daripada aktiviti pemprosesan nenas yang giat dijalankan di kampung berkenaan.


 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page