Rakyat Beri Respon Positif Terhadap Pengumuman Penghargaan oleh Perdana Menteri
- nabalunews
- Jul 23, 2025
- 2 min read

23 Julai 2025
SANDAKAN: Pengumuman Penghargaan Untuk Rakyat Malaysia oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini, mendapat sambutan positif dari segenap lapisan masyarakat.
Inisiatif yang diumumkan termasuk penurunan harga minyak, bantuan tunai kepada golongan B40 dan M40, serta inisiatif pengurangan bil elektrik, jelas mencerminkan keprihatinan kerajaan terhadap beban kos sara hidup yang ditanggung rakyat.
Pengumuman itu dilihat bukan saja memberi kelegaan kepada jutaan rakyat, malah memperkukuh keyakinan terhadap kepimpinan kerajaan dalam menjaga kebajikan dan kesejahteraan semua lapisan masyarakat.

Penjawat awam, Latifah Ismail berkata, dia bersyukur dengan pemberian sumbangan berkenaan tanpa mengira perbezaan taraf ekonomi.
Katanya, ia menunjukkan keprihatinan Perdana Menteri kepada rakyat dalam usaha meringankan beban sara hidup serta penghargaan untuk meraikan rakyat sempena Hari Kebangsaan tahun ini.
“Sudah tentu kita bersyukur dengan pemberian sumbangan ini. Meskipun hanya RM100, namun ia tetap ada nilainya untuk semua penerima di negara ini,”katanya.

Bagi Rehana Suduri, 41, pengumuman 15 September sebagai hari kelepasan am tambahan bersempena sambutan Hari Malaysia tahun ini juga merupakan berita baik.
Katanya, ia seperti bonus tambahan kepada kakitangan awam untuk membawa keluarga khususnya anak-anak bercuti sempena cuti semester sekolah.
"Jadi pada hari itu, banyak masa boleh di luang bersama dengan anak-anak dan keluarga,” katanya.
Sementara itu, pengumuman penambahan jualan Rahmah Madani turut mendapat respon yang baik dari orang ramai.

Seorang pekerja swasta, Hajeriawati Latin,42, berkata, usaha memperbanyakkan lagi jualan Rahman sememangnya amat wajar khususnya untuk golongan B40 dan miskin tegar.
Katanya, ia memberi peluang kepada mereka untuk mendapatkan keperluan dan barang asas dengan harga yang lebih murah.
"Ini sedikit sebanyak akan dapat meringankan beban hidup yang dihadapi golongan B40 dan miskin tegar.
"Ramai lagi yang akan dapat dibantu dengan adanya jualan Rahmah ini dengan menjimatkan perbelanjaan mereka untuk digunakan bagi keperluan yang lain,” katanya.















Comments