Rampas Kelengkapan Elektrik Tanpa Label SIRIM
- nabalunews
- 4 hours ago
- 1 min read

16 Februari 2026
KOTA KINABALU: Operasi penguatkuasaan yang dijalankan Energy Commission of Sabah (ECoS) di dua premis sekitar bandar raya ini berjaya merampas pelbagai kelengkapan elektrik tanpa label keselamatan SIRIM bernilai lebih RM300,000.
Operasi yang julung kali dilaksanakan itu membabitkan 23 pegawai ECoS dengan kerjasama empat pegawai SIRIM Berhad selaku Badan Penilaian Pematuhan yang diiktiraf oleh ECoS.
Serbuan berkenaan dijalankan bagi memastikan semua kelengkapan elektrik yang dijual mematuhi keperluan perundangan di bawah Peraturan 107, Peraturan-Peraturan Bekalan Elektrik 2024 (PPBE 2024).

Ketua Pegawai Operasi ECoS, Ir Ts Ridwan Saham, berkata operasi itu dilaksanakan susulan pengeluaran Notis Larangan pada Disember 2025.
“Namun begitu, beberapa premis masih didapati ingkar mematuhi notis tersebut dan terus menjual kelengkapan elektrik yang tidak mematuhi kehendak perundangan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurut beliau, tindakan tegas diambil bagi melindungi keselamatan pengguna daripada risiko penggunaan peralatan elektrik yang tidak diperakui serta berpotensi membahayakan.
Seperti diperuntukkan di bawah subperaturan 110(2) PPBE 2024, mana-mana pihak yang melakukan kesalahan menjual kelengkapan elektrik pengguna yang tidak mematuhi kehendak perundangan boleh, apabila disabitkan, dikenakan denda tidak melebihi RM20,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali.
Ridwan menegaskan ECoS akan terus mempertingkatkan operasi penguatkuasaan dari semasa ke semasa bagi memastikan keselamatan pengguna sentiasa terpelihara.
“Tindakan ini juga bagi memastikan semua pihak mematuhi sepenuhnya peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa di Sabah,” katanya.


















Comments