RM1.8 juta sudah dibelanjakan untuk pembangunan DUN Sebatik
- nabalunews
- Jun 2
- 1 min read

1 Jun 2025
TAWAU: Sebanyak RM1.8 juta sudah dibelanjakan untuk pelaksanaan keperluan pembangunan infrastruktur di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sebatik sehingga setakat ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebatik, Datuk Hassan A Gani Pg Amir, berkata pembangunan yang dilaksanakan itu adalah keperluan berdasarkan laporan dan permintaan daripada rakyat akar umbi.
Katanya, ia termasuklah, permintaan melalui Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) dan Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Sebatik.
“Setiap ADUN diberi peruntukkan RM3 juta, dan RM2.4 juta adalah dalam bentuk pembangunan infrastruktur, manakala, RM600, 000 lagi adalah untuk program sentuhan kasih.
“Berkenaan projek-projek pembangunan yang dilaksanakan di Pulau Sebatik ketika ini, dua projek pembinaan jalan sedang dalam proses pengambil-alihan tanah di Pulau Sebatik,”katanya.
Hassan berkata demikian kepada media selepas Persidangan Tahunan Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) Bahagian Sebatik di Dewan Masyarakat Tawau, semalam.
Persidangan yang dihadiri hampir 1,000 perwakilan daripada 161 cawangan PGRS Sebatik itu, dirasmikan Ketua Penerangan PGRS, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan.
Menurutnya, projek berkenaan melibatkan pembinaan jalan dari Bergosong Kecil ke Sungai Pukul bernilai RM8.3 juta dan jalan dari Sungai Pukul ke Sungai Melayu bernilai RM9 juta.
Selain itu, katanya, tender projek Klinik Kesihatan di Sungai Tamang bernilai RM49 juta (berbanding RM20 juta sebelum ini) dijangka akan ditender pada September tahun ini selepas dirancang begitu lama.
“Projek ini pada mulanya bernilai RM20 juta dan ketika ini sudah meningkat RM49 juta mengikut keperluan atau spefikasi pelan yang disediakan.
“InsyaAllah kita menunggu dan kalau mengikut laporan daripada Jabatan Kerja Raya melalui Kementerian Kesihatan Malaysia, projek ini akan ditender pada September ini,”katanya lagi.
Comments