top of page

RM101.49 juta diperuntukkan kepada KBSS laksana program pembangunan belia dan sukan

  • nabalunews
  • May 28
  • 2 min read


Hajiji bergambar bersama sebahagian peserta Forum Ekonomi Belia : “Aspirasi MADANI Dalam Membangun Sabah Maju Jaya” di Dewan Amil Jaya, DBP Cawangan Sabah pada Selasa
Hajiji bergambar bersama sebahagian peserta Forum Ekonomi Belia : “Aspirasi MADANI Dalam Membangun Sabah Maju Jaya” di Dewan Amil Jaya, DBP Cawangan Sabah pada Selasa

28 Mei 2025


KOTA KINABALU: Sebanyak RM101.49 juta diperuntukkan kepada Kementerian Belia dan Sukan Sabah (KBSS) tahun ini untuk melaksanakan pelbagai program pembangunan belia dan sukan, termasuk RM16.75 juta khusus untuk pembangunan modal insan.


Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, pelbagai program diperkenalkan bagi memastikan belia Sabah bersedia menghadapi cabaran semasa dan masa depan.


Katanya, ia termasuk Program Felo Sabah Maju Jaya yang memberi pendedahan langsung kepada dasar dan pentadbiran kerajaan.


“Melalui program ini, belia akan dibentuk bukan hanya dari sudut pengetahuan tetapi juga dari segi kepimpinan dan nilai kenegaraan, supaya mereka boleh menyumbang secara berkesan dalam pembangunan negeri,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika merasmikan Forum Ekonomi Belia : “Aspirasi MADANI Dalam Membangun Sabah Maju Jaya” di Dewan Amil Jaya, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sabah pada Selasa.


Hajiji berkata, pembangunan belia menjadi salah satu keutamaan dalam pelaksanaan dasar Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) yang selari dengan kerangka Ekonomi MADANI di peringkat nasional.


Katanya, golongan belia bukan sahaja memainkan peranan sebagai penerima manfaat dasar, malah merupakan agen perubahan dan tenaga penggerak kepada pembangunan negeri yang berdaya tahan dan inklusif.


“Pembangunan ekonomi belia bukan lagi satu pilihan tetapi satu keperluan strategik. Belia adalah nadi masa depan yang akan mengemudi hala tuju negeri ini.


“Justeru, mereka perlu diberikan ruang, latihan serta peluang untuk menyumbang secara aktif kepada kemajuan Sabah,” katanya


Ketua Menteri turut menyentuh pelaksanaan program keusahawanan seperti Skim Jaya Usahawan Belia Sabah (SYABAS) yang menyediakan geran, latihan dan bimbingan kepada belia yang ingin menceburi bidang perniagaan.


Katanya, pembangunan ekonomi Sabah perlu dilihat dalam konteks penglibatan belia secara langsung, khususnya dalam sektor pelancongan, pertanian dan perikanan yang merupakan fokus utama SMJ.


“Potensi besar yang dimiliki negeri ini perlu diterjemahkan menjadi peluang sebenar untuk rakyat, terutama belia. Kerajaan akan terus menyediakan pelbagai inisiatif dan insentif agar golongan muda tidak hanya menjadi pemerhati tetapi pelaku utama ekonomi negeri,” tegasnya.


Hajiji turut memuji penganjuran forum itu yang bukan sahaja menjadi medan perbincangan, tetapi juga mencipta ruang kerjasama rentas sektor untuk memperkukuh usaha membangunkan belia secara menyeluruh.


Beliau percaya pendekatan bersama melalui sinergi pelbagai pihak akan memastikan bakat dan potensi belia Sabah dapat digilap secara optimum, sekali gus menyumbang kepada agenda pembangunan negeri.


Katanya, kerjasama erat antara kerajaan dan masyarakat amat penting bagi memastikan aspirasi belia dapat diterjemah menjadi dasar yang membawa impak kepada komuniti akar umbi.


“Saya percaya, dengan semangat Sabah Maju Jaya dan prinsip Ekonomi MADANI, belia Sabah mampu membina masa depan yang lebih progresif, seimbang dan berdaya saing,” katanya.


Beliau menyarankan agar program seumpama forum ekonomi belia dapat dilaksanakan di daerah-daerah lain di seluruh Sabah agar suara belia luar bandar turut didengar dan diangkat.


Comentários


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page