RM18.37 bilion diperlukan untuk salurkan air terawat di Sabah

25 Mei 2023
Oleh Wartawan Nabalu News
KOTA KINABALU: Kerajaan negeri memerlukan anggaran sejumlah RM18.37 bilion untuk memastikan bekalan air terawat dapat disalurkan dengan sempurna kepada rakyat Sabah.
Ini adalah antara tindakan dan mitigasi yang telah dikategorikan sebagai mendesak dan perlu dilaksanakan oleh Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) mengikut keperluan jadual perancangan.
Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Kerja Raya, Datuk Ir. Shahelmey Yahya berkata, JANS juga telah berjaya mengutip hasil sebanyak RM108.91 juta dari segi hasil jualan air setakat 23 Mei, 2023.
Beliau berkata, jumlah tersebut bersamaan dengan 36 peratus daripada anggaran kutipan hasil yang disasarkan sehingga hujung tahun ini iaitu sebanyak RM300 juta.
“Peranan Kementerian saya adalah untuk merancang dan melaksanakan pembangunan infrastruktur seperti pembinaan kemudahan jalan raya, jambatan, bekalan air, perkhidmatan pembetungan, perkhidmatan keretapi, pelabuhan, jeti, bekalan elektrik untuk kesejahteraan rakyat,” katanya ketika menggulung perbahasan untuk Kementeriannya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah baru-baru ini.
Shahelmey berkata, JANS juga berusaha meningkatkan tahap perkhidmatan yang efisien, berkualiti dan mesra untuk kepuasan pelanggan melalui pelaksanaan Perancangan dan Pembangunan Bekalan Air Negeri Sabah untuk Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).
Beliau turut berterima kasih kepada ADUN-ADUN daripada Sindumin, Senallang, Merotai, Bugaya, Kemabong, Tanjong Aru, Kapayan, Kukusan dan lain-lain yang prihatin dan membangkitkan isu bekalan air di Sabah.
Beliau berkata, antara cadangan atau program bagi menangani masalah bekalan air terawat di Sabah termasuk membina, menaik taraf dan memulihkan sistem pengeluaran air; mengurangkan kadar kehilangan air tidak berhasil; membina, menaik taraf dan mengganti sistem agihan air; membina serta menaik taraf pejabat-pejabat JANS; dan membangunkan sistem pemantauan dan pengurusan sistem maklumat rangkaian bekalan air.
“Dengan mempunyai kakitangan penguatkuasaan yang mencukupi, kadar tunggakan hasil yang tinggi akan dapat diatasi secara tidak langsung akan dapat meningkatkan hasil negeri,” katanya.
Comments