Rokok Seludup Bernilai RM400,000 Dirampas
- nabalunews
- Mar 20, 2025
- 1 min read

20 Mac 2025
LAHAD DATU: Cubaan menyeludup masuk pelbagai rokok bernilai RM400,000 berjaya ditumpaskan Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Sabah dalam operasi di Jalan Segama, di sini, kelmarin.
Rampasan itu dilakukan oleh sepasukan anggota Batalion 17 PGA Lahad Datu menerusi Op Taring Alpha 1, selepas menahan sebuah lori, kira-kira jam 8.30 malam.
Komander Briged Sabah PGA, Datuk Abdul Rani Alias berkata, bertindak atas maklumat risikan, pasukan operasi menahan sebuah lori dalam keadaan mencurigakan.

"Hasil pemeriksaan terhadap lori itu membawa kepada tangkapan seorang lelaki tempatan serta rampasan 192,000 batang rokok bernilai RM401,280.
"Turut disita iaitu sebuah lori lapan tan jenis Nissan serta sebuah telefon bimbit. Menjadikan jumlah keseluruhan rampasan bernilai RM691,730," katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurutnya, tangkapan dan barang rampasan diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu untuk tindakan lanjut.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967.
"PGA terus komited dalam membanteras kegiatan penyeludupan yang mengancam keselamatan dan ekonomi negara," katanya.


















Comments