top of page

Rowindy Lawrence Odong, Calon UPKO Untuk DUN Membakut

  • nabalunews
  • 3 hours ago
  • 2 min read

ree

14 November 2025


MEMBAKUT: Rowindy Lawrence Odong muncul sebagai tokoh penting dalam gelanggang politik Sabah, khususnya bagi DUN Membakut, mewakili UPKO (United Progressive Kinabalu Organisation). Beliau dikenali sebagai pemimpin wanita muda yang aktif, berdedikasi, dan sangat dekat dengan akar umbi di kawasan Membakut.


Rowindy, yang berasal dari Kampung Bandau, Membakut, telah lama terlibat dengan UPKO sejak tahun 2010. Beliau juga pernah berkhidmat sebagai Pegawai Khas kepada Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah dan memiliki pengalaman dalam pentadbiran kerajaan sebagai Ahli Lembaga Amanah TEKUN Nasional, menunjukkan penguasaan beliau dalam pentadbiran dan pembangunan negeri.


Dalam struktur UPKO, Rowindy telah diberi kepercayaan untuk memegang beberapa jawatan penting, termasuk peranan dalam organisasi hubungan antarabangsa. Beliau juga merupakan Presiden Persatuan Pembangunan Usahawan Wanita Luar Bandar Sabah (USHWANE), menegaskan komitmennya terhadap pembangunan wanita dan komuniti luar bandar.


Penampilan Rowindy sebagai calon membuktikan strategi UPKO untuk mengangkat pemimpin wanita muda yang dekat dengan rakyat tempatan. Sebagai anak tempatan Membakut, beliau memahami realiti dan cabaran masyarakat di kawasan itu dari pembangunan asas hingga peluang pekerjaan.


“Dahulu saya diminta bertanding sebagai satu-satunya calon wanita, agak last minute, dan walaupun tidak berjaya pada PRU15, saya tetap meneruskan khidmat dan bakti saya di kawasan ini. Saya percaya pengalaman itu memperkukuh kesiapsiagaan saya untuk menghadapi PRU yang akan datang,” katanya.


“Sabah First, Membakut First.”

Dengan mandat yang diberikan oleh rakyat Membakut, beliau bertekad untuk memastikan prinsip “Membakut First” diterapkan dalam setiap perancangan pembangunan, keputusan dasar, dan keutamaan yang diperjuangkan. Pendekatan ini selari dengan aspirasi UPKO iaitu “Sabah First”.


“Di dalam Dewan, saya akan bersuara dan berjuang tanpa kompromi untuk memastikan kepentingan Membakut sentiasa menjadi keutamaan dari peruntukan, projek pembangunan, hinggalah kepada dasar yang menyentuh kehidupan rakyat,” tambah beliau lagi.


Untuk menghadapi PRU Sabah kali ini, Rowindy menyatakan bahawa jika diberi mandat, beliau akan menumpukan fokus kepada pembangunan Membakut dalam semua aspek, termasuk infrastruktur, pendidikan, pusat rekreasi keluarga, pelancongan dan keperluan asas komuniti. Beliau juga dikenali sebagai pemimpin yang prihatin terhadap isu wanita dan belia, terutamanya ibu tunggal dan golongan muda yang kurang mendapat sokongan.


Walaupun Membakut masih menghadapi kekurangan infrastruktur dan peluang sosio-ekonomi, Rowindy yakin bahawa dengan pengalaman, akar umbi, dan kepimpinan beliau, perubahan positif mampu direalisasikan.


Dengan latihan politik, pengalaman pembangunan luar bandar, pengalaman pentadbiran kerajaan, dan pemahaman mendalam tentang komuniti tempatan, Rowindy mempunyai modal besar untuk menjadi jambatan antara suara rakyat dan pembuat dasar, terutamanya dalam isu pembangunan, serta keperluan khusus wanita dan belia.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page