top of page

RS Athletic Championship 2026 Mula Hari Ini, 24 Acara Dipertandingkan di Stadium Likas

  • nabalunews
  • 1 hour ago
  • 2 min read

Oleh : Romie Stanley DGuns


KOTA KINABALU, 29 Ogos – Sebanyak 24 acara olahraga dipertandingkan dalam RS Athletic Championship 2026 yang berlangsung selama tiga hari bermula hari ini hingga 31 Ogos di Stadium Likas, Kota Kinabalu.


Kejohanan anjuran RS Athletics Club (RSAC) itu terbuka kepada penyertaan individu, kelab, pasukan baharu, dan sekolah dari seluruh kawasan, dengan objektif utama mencungkil bakat muda di peringkat akar umbi serta menyediakan platform persaingan kompetitif untuk atlet kelab dan sekolah.


Penganjur juga berhasrat membantu atlet membina pengalaman serta meningkatkan prestasi fizikal dan mental, selain memupuk minat masyarakat terhadap sukan olahraga dan gaya hidup aktif.


Kejohanan ini turut menghimpunkan peminat sukan, keluarga, dan jurulatih bagi menyokong ekosistem sukan tempatan, di samping menghubungkan pelbagai kelab dan sekolah untuk memupuk semangat kesukanan serta integrasi sosial.


Dalam jangka panjang, RS Athletic Championship 2026 menyasarkan untuk melahirkan kelompok atlet pelapis berwibawa yang mampu mewakili negeri atau negara pada masa hadapan.


Stadium Likas dan Sabah turut diposisikan sebagai hab penganjuran kejohanan olahraga berprestasi tinggi yang inklusif, selain memperkukuh peranan kelab sukan swasta dan persatuan tempatan dalam memacu industri sukan olahraga tanah air.


Kejohanan ini juga menyediakan indikator data prestasi rasmi seperti masa, jarak, dan ketinggian yang membolehkan jurulatih menilai kemajuan atlet secara objektif.


Acara balapan yang dipertandingkan merangkumi 60 meter, 80 meter, 100 meter, 150 meter, 200 meter, 400 meter, 800 meter, 1200 meter, 1500 meter, 60 meter lari berpagar mini, 80 meter lari berpagar mini, 80 meter lari berpagar, 100 meter lari berpagar, 110 meter lari berpagar, 200 meter lari berpagar, 400 meter lari berpagar, dan 4 x 100 meter lari berganti-ganti.


Manakala acara padang pula meliputi lompat jauh, lompat tinggi, lompat tiga langkah, lontar peluru, lempar cakera, dan rejam lembing.


Setiap acara dibahagikan mengikut jantina lelaki dan wanita serta kategori umur U6, U8, U10, U12, U15, U17, dan Terbuka mengikut kesesuaian acara.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page