top of page

Sabah catat RM7.6 bilion pelaburan dalam sektor pembuatan pada 2025

nabalunews
2 minutes ago
2 min read

10 OKTOBER 2026


KOTA KINABALU: Sabah mencatatkan pelaburan sebanyak RM7.6 bilion dalam sektor pembuatan tahun lalu, sekali gus menunjukkan momentum pertumbuhan industri yang kukuh serta keyakinan pelabur terhadap negeri ini, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.


Beliau berkata, dalam tempoh yang sama, usahawan Sabah turut meluaskan pasaran ke peringkat antarabangsa apabila seramai 124 usahawan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Sabah menyertai 18 ekspo perdagangan antarabangsa dan menjana potensi jualan sebanyak RM95.9 juta.


"Kita mahu lebih banyak perniagaan tempatan meningkatkan keupayaan mereka, memanfaatkan teknologi dan inovasi serta mampu bersaing di pasaran serantau dan antarabangsa," katanya.



Beliau berkata, Kerajaan Negeri akan terus mewujudkan persekitaran yang menyokong pelaburan, inovasi, pembangunan kemahiran dan keusahawanan.


Hajiji berkata demikian pada Majlis Malam Persekutuan Industri Sabah (FSI) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini malam ini.


Teks ucapan beliau disampaikan oleh Timbalan Ketua Menteri/Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan, Datuk Ewon Benedick.


Hajiji berkata, Kerajaan Negeri tidak mampu membangunkan ekonomi Sabah secara bersendirian, manakala sektor industri pula tidak boleh berkembang tanpa kerjasama dengan pihak lain.


"Kerjasama yang erat amat penting. Saya berharap FSI akan terus menjadi suara yang am ra bersatu bagi industri di Sabah serta jambatan penghubung yang berkesan antara Kerajaan dengan sektor swasta.


"Kejayaan berterusan FSI juga bergantung kepada penyertaan aktif, idea dan komitmen semua ahlinya," katanya.


Sehubungan itu, Hajiji berkata, Kerajaan Negeri berharap dapat terus bekerjasama dengan FSI dan komuniti perniagaan secara keseluruhannya ke arah menjadikan Sabah sebuah negeri yang lebih berdaya saing, berdaya tahan dan makmur.


Ketua Menteri berkata, FSI juga memainkan peranan penting dalam membantu pengilang dan pemain industri menyesuaikan diri dengan perkembangan kecerdasan buatan (Al), automasi dan pendigitalan.


"Selama lebih empat dekad, FSI telah menyatukan pengilang dan pemain industri, mewakili kepentingan mereka serta menjadi penghubung penting antara Kerajaan dengan sektor swasta.


"Ekspo Antarabangsa Sabah (SIE) membuktikan hasil yang mampu dicapai melalui kerjasama ini. Susulan kejayaan penganjuran SIE 2026 pada September lalu, saya mengucapkan tahniah kepada jawatankuasa penganjur FSI dan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Antarabangsa Malaysia (MICCI), dengan sokongan Kerajaan Negeri, kerana berjaya menghubungkan perniagaan Sabah dengan pelabur, delegasi perdagangan dan pasaran antarabangsa," katanya.


"Tahniah kepada FSI sempena ulang tahun penubuhannya yang ke-43. Semoga Persekutuan ini terus memperkukuh industri di Sabah, mewujudkan peluang kepada ahlinya serta menyumbang kepada kemajuan ekonomi negeri," katanya.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page