Sabah FC Juara Piala Cabaran MFL
- nabalunews
- 2 days ago
- 1 min read

20 April 2026
KOTA KINABALU: Sabah FC menepati sasaran apabila berjaya menjuarai Piala Cabaran MFL selepas menewaskan Penang FC dalam perlawanan penuh dramatik di Stadium Likas, di sini, semalam.
Bagaimanapun, kejayaan pasukan kendalian Juan Torres Garrido itu berdepan kesukaran apabila terpaksa bertarung sehingga 120 minit perlawanan termasuk tambahan masa yang berakhir tanpa jaringan.
Sabah FC akhirnya dinobatkan juara menerusi sepakan penalti yang berakhir dengan keputusan 4-3 apabila gol kemenangan dijaringkan pemain gantian Farhan Roslan.

Sabah FC yang mendapat sokongan padu dengan kehadiran lebih 20,000 penyokong sendiri memberikan semangat kepada pemain untuk menguasai sebahagian besar permainan.
Bagaimanapun, kegagalan jentera serangan yang diketuai Fergus Tierney dan Darren Lok menyudahkan peluang menyaksikan perlawanan terikat tanpa jaringan.
Pasukan Penang FC yang dikendalikan Wan Rohaimi Wan Ismail memberi saingan apabila tidak mudah mengalah dengan ancaman serangan balas pantas Sabah FC.
Kekentalan pertahanan Penang FC selain ketangkasan penjaga gol Mohamad Ramdhan Ab Hamid berjaya mengekang beberapa percubaan berbahaya lawan.
Sementara itu, Pengurus Sabah FC, Muhd Arziz Afizy Rumsani berkata, beliau berterima kasih kepada semua penyokong Sabah FC yang hadir membanjiri Stadium Likas.
Katanya, kehadiran lebih 20,000 penyokong itu merupakan pemangkin semangat tambahan kepada pasukan Sabah FC sehingga mampu bergelar juara.
“Sabah FC, pengurusan dan pemain juga ingin berterima kasih kepada Kerajaan Negeri, terutamanya Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor yang mengumumkan bonus sebanyak RM700,000 sebentar tadi kepada pasukan.
“Ini salah satu isentif untuk pemain-pemain kita yang berusaha sehingga kita menjuarai MFL Challenge Cup,” katanya.















Comments