top of page

Sabah First perjuangan UPKO tuntut hak Sabah

  • nabalunews
  • 2 days ago
  • 2 min read

ree

22 November 2025


KOTA KINABALU: Laungan “Sabah First” bukan sekadar slogan, sebaliknya cerminan perjuangan Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) dalam menuntut kembali hak-hak Sabah yang masih belum disempurnakan di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).


Calon UPKO bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Petagas, Jason Lee berkata perjuangan itu perlu digerakkan dengan lebih tegas dan berani bagi memastikan Sabah akhirnya mampu berdiri teguh seperti Sarawak.


Menurutnya, kejayaan Sarawak mempertahankan hak negeri menerusi kepimpinan yang bersatu, tidak mudah digugat dan berpendirian tegas wajar menjadi panduan kepada pemimpin Sabah.


“Sarawak kini bukan lagi sekadar dianggap sebuah “negeri”, sebaliknya sebuah wilayah yang telah mengembalikan kedudukan asalnya sebagai rakan sekutu pembentukan Malaysia.


“Sarawak juga telah mengumumkan bahawa ia telah berjaya mendapatkan semula sembilan hak MA63 setakat ini, termasuk beberapa kuasa teknikal dan autonomi negeri,” katanya.


Mengulas lanjut, beliau berkata Sabah sudah terlalu lama dibebani kekurangan yang tidak sepatutnya berlaku, khususnya dalam aspek kemudahan serta infrastruktur asas, dan itu katanya, hanyalah sebahagian daripada masalah sebenar yang membebankan rakyat.


Jason menegaskan, kesemua isu tersebut berkait rapat dengan hak-hak Sabah di bawah MA63 yang masih belum dilaksanakan sepenuhnya.


“Sebab itu penting untuk kita sama-sama bangkit dan sedar bahawa hak Sabah mesti dituntut untuk masa depan generasi akan datang.


“Kita mengimpikan suatu hari nanti anak-anak kita juga mendapat pendidikan percuma, jalan raya selesa, bekalan air bersih di semua kawasan termasuk di pedalaman serta bekalan elektrik dan internet yang stabil si seluruh pelusuk Sabah,” ujarnya.


Beliau turut menyatakan keyakinan bahawa tuntutan 40 peratus hasil bersih sebagaimana termaktub dalam MA63 mampu direalisasikan sekiranya Sabah ditadbir pemimpin yang jujur, berani dan “tidak mudah dibeli”.


Jelasnya, Sarawak telah membuktikan hak boleh dikembalikan jika diperjuangkan dengan tegas, dan Sabah juga mampu berbuat demikian menerusi kepimpinan negeri yang tidak tunduk kepada tekanan luar.


Justeru, beliau mengingatkan pengundi agar tidak melihat undi sebagai sekadar transaksi, sebaliknya suara yang mampu membawa perubahan dengan memilih pemimpin yang benar-benar memperjuangkan hak serta kepentingan Sabah.


“Pilih pemimpin yang bekerja untuk rakyat, bukan untuk kepentingan sendiri.


“Mari kita bersatu untuk Sabah yang lebih baik. Perjuangan Sabah First adalah untuk negeri kita, keluarga kita dan generasi yang akan datang,” katanya.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page