top of page

Sabah fokus bangunkan belia proaktif, berdaya saing selaras agenda SMJ 2.0

  • nabalunews
  • 28 minutes ago
  • 2 min read

ree

29 Disember 2025


KOTA KINABALU: Kementerian Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif akan memfokuskan usaha kepada pembudayaan belia yang proaktif, berdaya saing dan berimpak tinggi, selaras dengan Agenda Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 (2026–2030).


Menterinya, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, tumpuan akan diberikan terhadap pembangunan kepimpinan, kemahiran masa depan, inovasi serta semangat kesukarelawanan dalam kalangan belia.


Menurutnya, langkah itu memastikan golongan berkenaan bukan sekadar penerima peluang, malah menjadi penyumbang aktif kepada pembangunan negeri dan kesejahteraan masyarakat.


“Dalam masa yang sama, usaha memperkasa Sabah sebagai sebuah negeri sukan akan diteruskan secara holistik, meliputi sukan berprestasi tinggi, sukan orang kurang upaya serta sukan massa bagi membudayakan gaya hidup sihat dalam kalangan rakyat.


“Kementerian juga akan mempergiat pemerkasaan industri ekonomi kreatif melalui peningkatan kemahiran, inovasi, pemasaran dan pengurusan, khususnya dalam sektor kreatif dan digital, agar ia menjadi antara pemacu ekonomi baharu yang mampan dan berdaya saing untuk Sabah,” katanya.


Nizam berkata demikian dalam perutusan sempena Tahun Baharu 2026 pada Isnin.


Menurut beliau, Kerajaan Sabah akan terus konsisten memperjuangkan hak serta kepentingan negeri berlandaskan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) secara berhemah dan berprinsip, bagi memastikan hak Sabah terus diperkasakan dalam kerangka Persekutuan Malaysia.


“Hubungan yang baik dan akrab antara Kerajaan Negeri Sabah di bawah SMJ dan Kerajaan Persekutuan berteraskan Malaysia MADANI akan terus diperkukuh demi kepentingan rakyat Sabah serta usaha membina sebuah negara yang lebih inklusif, adil dan seimbang,” jelasnya.


Sementara itu, Nizam yang juga Ketua Penerangan Gagasan Rakyat berkata, kemenangan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dalam Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Sabah ke-17 membuktikan rakyat mahukan kestabilan politik dan kepimpinan berpaksikan kepentingan rakyat dan masa depan negeri.


“Mandat ini jelas membuktikan bahawa rakyat memilih kestabilan, kematangan politik serta sebuah kerajaan yang mempunyai hala tuju yang jelas untuk membawa Sabah ke arah kemajuan dan kejayaan yang berterusan,” ujarnya.


Beliau berkata, tahun 2026 menjadi titik permulaan pelaksanaan agenda SMJ 2.0 yang memfokuskan pertumbuhan ekonomi, pembangunan modal insan dan infrastruktur mampan.


Sehubungan itu, Nizam menyeru seluruh rakyat Sabah agar terus memberikan sokongan dan kerjasama padu kepada Kerajaan Negeri dalam usaha memacu kemajuan serta pembangunan berterusan.


“Kejayaan membina Sabah yang lebih maju dan berjaya bukanlah tanggungjawab kerajaan semata-mata, tetapi merupakan usaha bersama antara kepimpinan dan rakyat,” katanya.

 
 
 
photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page