top of page

Sambut Baik Belanjawan 2027, Harap Hak 40 Peratus Diselesaikan

nabalunews
5 hours ago
2 min read

KOTA KINABALU: Pergerakan Pemuda Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) menyambut baik pembentangan Belanjawan 2027 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, khususnya peningkatan peruntukan pembangunan untuk Sabah.


Bagaimanapun ia tidak boleh dijadikan alasan untuk melengah-lengahkan pelaksanaan pembayaran 40 peratus hak Sabah menerusi Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).


Ketuanya, Carlye Lajimin berkata, peruntukan Persekutuan sebanyak RM18.7 bilion kepada Sabah bagi 2027, berbanding RM17.6 bilion tahun ini, merupakan perkembangan positif dalam usaha memperkukuh pembangunan negeri itu.


Katanya, Sabah memerlukan pembangunan secara menyeluruh dan seimbang, merangkumi infrastruktur asas, jalan raya, bekalan air, elektrik serta kemudahan lain yang masih menjadi keperluan rakyat, khususnya di kawasan luar bandar dan pedalaman.


“Kami menyambut baik komitmen Kerajaan Persekutuan untuk meneruskan projek jalan raya di Sabah dan Sarawak menerusi peruntukan berjumlah RM3.3 bilion pada 2027.


“Sabah sememangnya memerlukan peruntukan yang lebih besar dan ia perlu diterjemahkan kepada pelaksanaan projek pembangunan yang berkesan supaya manfaatnya dapat dirasai secara langsung oleh rakyat,” katanya ketika dihubungi, hari ini.


Menurutnya, pembangunan rangkaian jalan raya amat penting untuk meningkatkan hubungan antara kawasan, melancarkan pergerakan penduduk dan barangan serta merangsang aktiviti ekonomi tempatan.


“Kami juga berharap Belanjawan 2027 akan menjadi landasan kepada penyelesaian menyeluruh berhubung hak Sabah menerima pemberian khas bersamaan 40 peratus hasil bersih sebagaimana diperuntukkan di bawah Perlembagaan Persekutuan.


“Ini kerana tuntutan berkenaan bukan sekadar berkaitan jumlah peruntukan tahunan, sebaliknya menyentuh hak perlembagaan Sabah yang perlu ditunaikan secara adil dan berlandaskan semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63),” tegasnya.


Carlye berkata, pemenuhan hak 40 peratus itu penting bagi memperkukuh keupayaan kewangan negeri untuk merancang dan melaksanakan lebih banyak projek pembangunan yang memenuhi keperluan rakyat.


Sehubungan itu, beliau berharap Kerajaan Persekutuan meneruskan komitmen dan tindakan konkrit bagi memastikan hak Sabah dihormati serta dilaksanakan, selaras dengan semangat federalisme dan MA63.


Beliau berkata, UPKO akan terus memperjuangkan kepentingan Sabah supaya setiap komitmen pembangunan dan hak negeri dapat direalisasikan demi kesejahteraan rakyat serta masa depan generasi akan datang.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page