Sasaran sifar kebakaran di DUN Apas tahun depan
- nabalunews
- Dec 20, 2025
- 1 min read

20 Disember 2025
TAWAU: Kerajaan Negeri mensasarkan sifar kebakaran di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Apas bermula tahun hadapan, melalui pelaksanaan pendekatan pencegahan yang menyeluruh dan bersepadu.
Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, kerajaan akan memberi penekanan kepada peningkatan kesedaran masyarakat, penambahan kemudahan asas keselamatan dan pengukuhan peranan bomba komuniti di daerah ini demi mencapai sasaran tersebut.
Menurutnya, sasaran itu amat signifikan memandangkan DUN Apas merangkumi kawasan penempatan yang padat, sekaligus dilihat berisiko tinggi berdepan kejadian kebakaran, khususnya penempatan di sepanjang pesisir pantai.

"Hasrat dan komitmen Kerajaan adalah untuk memastikan semua pihak memainkan peranan masing-masing dengan azam menjadikan kawasan ini bebas daripada kejadian kebakaran menjelang tahun 2026," katanya.
Bagaimanapun, katanya, kejayaan inisiatif ini menuntut kerjasama erat masyarakat agar sentiasa berwaspada, khususnya berkaitan aspek keselamatan pendawaian elektrik dan pembinaan rumah yang selamat.
Di pihaknya, kata Nizam, beliau bersama Jawatankuasa Tindakan Daerah juga sedang membincangkan keperluan untuk menambah pili bomba di kawasan berisiko tinggi sebagai langkah kesiapsiagaan awal bagi menghadapi sebarang kemungkinan berlaku kebakaran.
Beliau menyatakan perkara itu selepas menyampaikan sumbangan berupa barangan dapur, bahan mentah dan wang tunai kepada mangsa kebakaran Kg Sri Aman, Batu 3 Jalan Apas, pagi tadi.
Katanya, sumbangan itu merupakan tanda keprihatinan dan sokongan berterusan beliau kepada rakyat di kawasannya yang ditimpa musibah demi meringankan sedikit sebanyak beban yang ditanggung.
Kebakaran membabitkan kemusnahan 30 rumah kayu di perkampungan atas air lewat malam pada Ahad lalu itu mengakibatkan 36 KIR melibatkan 221 mangsa tinggal sehelai sepinggang.


















Comments