top of page

Saya Mahu Balas Jasa Doktor, Ibu Bapa - Pelajar Baharu UMS

  • nabalunews
  • 1 hour ago
  • 1 min read

Ikhwan Al Muntadzir Abdul Muldjamil
Ikhwan Al Muntadzir Abdul Muldjamil

1 Oktober 2025


KOTA KINABALU: Kesungguhan seorang pelajar baharu Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang lahir dengan masalah kesihatan menjadikan pengorbanan ibu bapa serta jasa doktor yang menyelamatkan nyawanya sebagai sumber inspirasi utama untuk menjejakkan kaki ke menara gading.

 

Ikhwan Al Muntadzir Abdul Muldjamil, 19, pelajar Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) UMS, dilahirkan dengan masalah kesihatan yang memerlukan pembedahan kolostomi sejurus selepas dilahirkan.


Sejak itu, beliau perlu menjalani rawatan berkala dan melalui rutin kehidupan yang berbeza daripada rakan sebayanya.

 

Namun begitu, segala ujian tersebut tidak pernah melemahkan semangatnya. Malah, pengalaman hidupnya yang rapat dengan dunia perubatan telah menanam cita-cita besar dalam dirinya untuk membalas jasa para doktor yang pernah merawatnya.

 

“Kalau bukan kerana usaha dan kepakaran doktor sejak saya lahir, mungkin saya tidak ada di sini hari ini.


”Sebab itulah cita-cita saya adalah menamatkan pengajian dan berkhidmat di hospital, agar saya sendiri dapat membantu menyelamatkan nyawa orang lain,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Lafaz Ikrar sempena Minggu Suai Mesra (MSM) Pelajar Baharu Sesi 2025/2026.


Ikhwan turut mengakui bahawa sokongan ibu bapa yang sentiasa tabah berulang-alik ke Kota Kinabalu bagi mendapatkan rawatan sejak kecil sebagai pendorong utamanya untuk terus berjaya.

 

Selain itu, beliau menyatakan penghargaan terhadap kemudahan yang disediakan UMS, khususnya kepada pelajar berkeperluan khas.


“Keterbatasan fizikal bukanlah alasan untuk berundur, sebaliknya menjadi pembakar semangat untuk menabur bakti dalam bidang kesihatan.


“Saya mahu membalas jasa yang pernah saya terima dahulu, bukan sahaja kepada doktor, tetapi juga kepada masyarakat,” ujarnya lagi.

 
 
 
photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page