top of page

Sekatan Masuk Ke Negeri Ini Adalah Hak Mutlak Kerajaan Negeri

  • nabalunews
  • Sep 23
  • 1 min read

ree

23 September 2025


KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri Sabah mempunyai hak mutlak untuk menentukan siapa yang dibenarkan masuk atau tidak ke Sabah.


Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, tindakan berkenaan bagaimanapun berdasarkan maklumat daripada pihak keselamatan dan agensi yang berkaitan.


Katanya, berdasarkan maklumat pihak yang berkenaan barulah kerajaan negeri boleh mengambil tindakan mengikut bidang kuasa yang ada.


“Untuk makluman, kerajaan negeri Sabah ada kuasa yang mutlak untuk mempastikan siapa yang boleh masuk ke Sabah atau tidak.


“Ini juga perlu maklumat dari pihak keselamatan dan pihak yang tertentu baru kita ambil tindakan,” katanya ketika ditemui media pada Majlis Pelancaran Program Kedai Jujur di Sekolah Kebangsaan (SK) Mutiara, di sini, hari ini.


Hajiji berkata demikian bagi mengulas dakwaan ahli perniagaan, Datuk Albert Tei yang dihalang memasuki Sabah selepas tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), di sini, semalam.


Albert difahamkan datang ke Sabah untuk hadir ke mahkamah bagi sebutan semula kes rasuah berkaitan isu permohonan lesen cari gali mineral yang dijadual di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini.


Selain Albert, dua lagi tertuduh dalam kes itu ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sindumin, Datuk Dr Yusof Yacob dan ADUN Tanjung Batu, Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy.


Terdahulu, peguam Albert, Mahajoth Singh meminta penjelasan daripada Ketua Menteri mengenai sekatan yang dikenakan ke atas anak guamnya.


Albert dijadual menghadiri sebutan kes di Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu, pada jam 9 pagi, hari ini namun dihalang sebaik tiba KKIA pada kira-kira jam 12.30 tengah hari, semalam.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page