Sekretariat MPUPK ditubuh selaras pelaksanaan belanjawan pembangunan keusahawanan – Ewon
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Sekretariat MPUPK ditubuh selaras pelaksanaan belanjawan pembangunan keusahawanan – Ewon




5 Februari 2024

 Oleh Wartawan Nabalu News


PUTRAJAYA: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata, sekrateriat Tetap Majlis Pembangunan Usahawan dan PMKS Kebangsaan (MPUPK) ditubuhkan bagi menyelaras pelaksanaan belanjawan pembangunan keusahawanan oleh agensi-agensi di semua kementerian berkaitan.

 

Beliau berkata, sekrateriat itu bertujuan memastikan semua dana yang disalurkan kepada setiap agensi di kementerian berkenaan dapat digunakan sepenuhnya dan memberi manfaat kepada pembangunan keusahawanan di negara ini.

 

Katanya, penubuhan sektateriat penyelarasan itu telah dipersetujui dalam Mesyuarat Majlis Pembangunan Usahawan dan PMKS Kebangsaan (MPUPK) yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri Dato’ Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi, hari ini.

 

“Timbalan Perdana Menteri telah mempengerusi mesyuarat MPUPK yang pertama tahun ini dan lima kertas dibentangkan dalam mesyuarat itu.

 

“Antara keputusan yang telah dipersetujui ialah satu sekrateriat penyelarasan dan pelaporan pelaksanaan belanjawan berkaitan pembangunan keusahawaan oleh agensi-agensi di semua kementerian ditubuhkan dan akan bermesyuarat setiap bulan yang akan dipengerusikan oleh TPM dan SME Corp sebagai ketua sekrateriat,” katanya.

 

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mesyuarat MPUPK dan pelancaran Pelan Strategik Perusahan Mikro, Kecil dan Sederhana 2023-2030, di Dewan Persidangan Bangunan Perdana Putra, hari ini.

 

Ewon berkata, dalam mesyuarat itu juga garis panduan pantas ESG untuk PMKS telah diluluskan.

 

Buku Panduan Pantas ESG untuk PMKS diterbitkan oleh SME Corp Malaysia bagi mengenalpasti kriteria asas penerapan amalan ESG oleh PMKS.

 

Panduan pantas ini merangkumi lapan langkah mudah untuk firma memahami kepentingan ESG dalam perniagaan mereka, menetapkan objektif, mengenalpasti indicator ESG yang berkaitan dengan perniagaan mereka, menghasilkan pelan tindakan kelestarian dan seterusnya menggunakan templat mudah untuk pelaporan ESG.

 

Ewon berharap, keputusan-keputusan dalam mesyuarat MPUPK dapat memacu penyelarasan merentas kementerian dan rentas kerajaan persekutuan dan negeri untuk manfaat golongan PMKS di seluruh negara.

 

Turut hadir, Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ramanan Ramakrishnan, Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi Dato’ Sri Suraini Ahmad, Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Datuk Zamri Salleh, Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Sabah Phoong Jin Zhe, wakil kerajaan negeri Sarawak, pegawai-pegawai kanan kementerian, jabatan dan agensi berkaitan.

 

MPUPK diwujudkan sebagai platform utama untuk membincangkan program dan inisiatif pembangunan usahawan dan perusahaan, mikro kecil dan sederhana (PMKS) selari dengan Dasar Keusahawanan Negara 2023 (DKN 2030) dan pembangunan Malaysia MADANI.

 

Dalam mesyuarat itu, lima kertas pembentangan telah dibincangkan iaitu Pemerkasaan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) di Malaysia, Hala Tuju Baharu Program Satu Daerah Satu Industri (SDSI), Pelan Strategik Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana 2030, Pelaporan Pelan Tindakan Bersepadu PKS (SMEIPA) dan Pelaksanaan ESG untuk PMKS.

 

 

bottom of page