top of page

Selesaikan Tuntutan 40 Peratus dan Tambah Satu Pertiga Kerusi Parlimen Sabah Sarawak Sebelum PRU16 - Felix

  • nabalunews
  • Feb 9
  • 2 min read

9 Februari 2026


KOTA KINABALU: Tuntutan hak 40 peratus hasil persekutuan kepada Sabah serta penambahan kerusi Parlimen sehingga mencapai nisbah satu pertiga perlu dilaksanakan sebelum Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).


Ketua Pergerakan Pemuda UPKO Nasional, Felix Joseph Saang, kedua-dua perkara ini amat penting dan selaras dengan semangat serta peruntukan dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).


Katanya, pelaksanaan tuntutan itu wajar dan berasas memandangkan MA63 dengan jelas mengiktiraf hak Sabah dan Sarawak sebagai rakan pengasas Persekutuan Malaysia, bukan sekadar sebuah negeri seperti yang lain.


“Begitu juga faktor geografi dan keluasan Sabah yang jauh lebih besar berbanding kebanyakan negeri di Semenanjung Malaysia yang memerlukan peruntukan kewangan serta jumlah ahli parlimen yang lebih munasabah dan adil.


“Sabah mempunyai banyak kawasan Parlimen yang sangat luas seperti Beluran, yang mana saiznya lebih tiga kali ganda lebih besar dari Melaka yang kini mempunyai enam kawasan Parlimen.


“Beluran hanya satu kerusi Parlimen dan sudah tentu peruntukan serta kemudahan yang diterima tidak setimpal dengan keperluan sebenar rakyat,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, hari ini.


Felix berkata, ketidakseimbangan ini bukan sahaja menjejaskan keberkesanan penyampaian perkhidmatan, malah melambatkan usaha pembangunan menyeluruh.


Katanya, amat jelas ketika ini Sabah mempunyai daerah-daerah yang masih bergelut dengan isu kemiskinan dan kekurangan infrastruktur asas.


Sehubungan itu, Felix berkata, sekiranya Kerajaan Persekutuan benar-benar beriltizam untuk menyelesaikan masalah daerah termiskin di Sabah dan merealisasikan aspirasi sifar miskin, pelaksanaan tuntutan 40 peratus hasil negeri adalah langkah yang paling realistik dan berkesan.


“Peruntukan tambahan melalui tuntutan 40 peratus ini akan membolehkan kerajaan negeri melaksanakan lebih banyak projek pembangunan.


“Malah ia sekaligus memperkasa ekonomi tempatan serta meningkatkan akses pendidikan, kesihatan dan kemudahan asas khususnya di kawasan luar bandar,” katanya.


Felix menegaskan, penambahan kerusi Parlimen Sabah sehingga mencapai nisbah dua pertiga adalah penting bagi memastikan suara Sabah didengar secara lebih adil dalam proses pembuatan dasar di peringkat persekutuan.


“Isu MA63 bukan isu baharu, tetapi ia memerlukan keberanian politik dan keikhlasan untuk dilaksanakan sepenuhnya.


“Pelaksanaannya sebelum PRU16 akan menjadi bukti komitmen sebenar Putrajaya terhadap keadilan, kesaksamaan dan masa depan Sabah,” katanya.


Beliau menegaskan, Pemuda UPKO akan terus konsisten memperjuangkan hak Sabah berlandaskan MA63 demi kesejahteraan rakyat dan pembangunan negeri secara mampan.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page