SEMPORNA HEROES TAMPIL IDEA PUNGUT SAMPAH, TUKAR DENGAN MAKANAN
- nabalunews
- Nov 21, 2020
- 2 min read

21 Nov 2020
SEMPORNA: Sebuah kumpulan bantuan yang berpusat di sini menampilkan usaha serampang dua mata iaitu membantu dan memberi kesedaran kepada penduduk melalui ‘Trash Hero Project’ yang dijalankan di Pulau Mabul baru-baru ini.
Projek itu memberi faedah serentak dengan menjamin kebersihan pulau tersebut dan pada masa sama, penduduk menerima bantuan berupa pek makanan.
Pengasas Semporna Heroes Samuel Lee berkata projek perintis itu dilaksanakan selama enam hari mulai 12 Nov lepas membabitkan proses bancian, pembersihan dan pengagihan bantuan kepada 619 ketua keluarga.
"Rancangan asal Semporna Heroes adalah memberikan bantuan makanan dan bekalan perubatan kepada penduduk terjejas akibat COVID-19 serta pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Semporna.
"Dalam tempoh itu, kita melihat keadaan persekitaran dan seterusnya merancang keperluan memberi kesedaran kepada penduduk mengenai kepentingan menjaga kebersihan alam sekitar bagi menghindari penyakit denggi atau kolera selain COVID-19 dan ideanya ialah pungut sampah dan tukar dengan makanan," katanya ketika dihubungi.
Beliau berkata usaha itu disambut baik dan hasil kerjasama penduduk, sebanyak 15,375 kilogram sampah berjaya dikumpul untuk ditukar dengan 619 pek makanan berupa beras, minyak masak, tepung gandum, gula, kopi, kicap dan mi kuning.
“Semasa bancian penduduk, kami mengagihkan nombor giliran di setiap rumah. Jadi semasa proses agihan, kami memanggil setiap 20 wakil keluarga bagi menukarkan sampah kepada pek makanan.
"Mereka hanya perlu mengumpulkan lima plastik sampah sebelum diserahkan kepada sukarelawan Semporna Heroes yang kemudian ditukar dengan bantuan pek makanan," katanya.
Lee berkata sebelum ini, kumpulan itu memasuki pulau di sekitar Semporna untuk menghantar bantuan bakul makanan dan biasanya bot yang kembali pekan Semporna kosong namun kali ini, ia dipenuhi plastik sampah.
Beliau berkata sejak PKPB dikuatkuasakan, pemandangan di Pulau Mabul yang merupakan antara destinasi tumpuan pelancong dan syurga aktiviti selaman tercemar dengan timbunan sampah.
"Ketika PKPB, tidak ada pergerakan keluar masuk bot ke Pulau Mabul yang kebiasaannya sebelum ini sampah di pulau itu dibawa dan dibuang di tanah besar Semporna," katanya sambil menambah projek itu dilaksanakan dengan bantuan dana sumbangan MPI Generali Insurans Bhd selain pengangkutan dan Uncle Chang Mabul Resort.
Lee berharap dapat melaksanakan program itu di pulau lain sekitar Semporna namun memerlukan dana yang mencukupi. - Bernama
Comments