Seramai 50 pegawai, anggota sepanjang Op Selamat sempena Tahun Baharu Cina
- nabalunews
- 5 hours ago
- 2 min read

18 Februari 2026
KOTA KINABALU: Seramai 50 pegawai dan anggota Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu ditugaskan sepanjang Op Selamat 25/2026 sempena sambutan Tahun Baharu Cina.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan Syed Lot Syed Ab Rahman berkata, operasi itu dilaksanakan selama enam hari bermula 15 hingga 20 Februari ini dengan slogan ‘Selamat Sampai Ke Destinasi’.
Katanya, inisiatif itu dilaksanakan berikutan peningkatan pergerakan kenderaan sepanjang musim perayaan kali ini.

"Fokus utama operasi merangkumi tiga aspek iaitu keselamatan jalan raya, kawalan lalu lintas dan pencegahan jenayah pecah rumah.
"Dalam tempoh dua hari pertama operasi, statistik menunjukkan peningkatan kemalangan sebanyak 31 peratus berbanding tahun lalu dengan 18 kes direkodkan," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media Op Selamat 25/2026, di Jalan Lintas berhadapan RTM Kota Kinabalu, di sini, hari ini.
Menurutnya, pihak polis akan meningkatkan rondaan dan penugasan anggota di kawasan dikenal pasti sebagai lokasi kerap kemalangan (blackspot) serta kawasan tumpuan kesesakan (hotspot).
Antara 11 kawasan hotspot kesesakan dikenal pasti ialah KM1 Lampu Isyarat Kemajuan, Jalan KK Bypass (Bulatan Capitol), Bulatan Wakiki Tanjung Aru, Lampu Isyarat Foh Sang, Jalan Bukit Padang, Bulatan Kelapa Bakar, Flyover Yayasan Sabah, Bulatan Masjid Bandaraya, Flyover Menggatal Bypass, pusingan U City Mall Tuaran Bypass dan Lampu Isyarat Pahlawan Jalan Kepayan.
Bagi kawasan blackspot pula, 12 lokasi dikenal pasti termasuk Jalan Kepayan Aeropod, Lampu Isyarat Metrotown dan Iramanis di Jalan Lintas, Tuaran Bypass berhampiran KFC Darau, Jalan Tuaran Lama Inanam dan Menggatal, Jalan Sepanggar Taman Jaya Diri, Indah Permai bawah flyover, Jalan UMS, Jalan Tun Fuad Stephen serta Jalan Lintas hadapan OUM.
Beliau berkata, tindakan tegas akan diambil terhadap kesalahan utama yang menyumbang kepada kemalangan seperti memandu melebihi had laju, melanggar lampu isyarat, menggunakan telefon bimbit ketika memandu serta memandu di bawah pengaruh alkohol.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya merancang perjalanan dan memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik bagi mengelakkan kesesakan serta risiko kemalangan.
"Dalam masa sama, rondaan cegah jenayah akan dipertingkatkan di kawasan perumahan dan komersial bagi mencegah kes pecah rumah sepanjang musim perayaan.
“Orang ramai yang pulang ke kampung digalakkan memaklumkan kepada balai polis berhampiran atau mengisi Borang Makluman Balik Kampung bagi memudahkan pemantauan.
"Sebarang maklumat atau kecemasan boleh disalurkan ke Bilik Gerakan IPD Kota Kinabalu di talian 088-529 222," katanya.
Syed Lot berkata, keselamatan adalah tanggungjawab bersama dan kerjasama semua pihak amat penting bagi memastikan sambutan Tahun Baharu Cina diraikan dalam suasana aman dan selamat.


















Comments