top of page
Wartawan Nabalu News

Setiausaha Agung UPKO, Datuk Nelson Angang angkat sumpah sebagai Senator

16 Mei 2024

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR: Setiausaha Agung Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Datuk Nelson Angang mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Negara (Senator) hari ini yang baharu berkuatkuasa hari ini (16 Mei) sehingga 15 Mei 2027.


Beliau mengangkat sumpah di hadapan Timbalan Yang di-Pertua Negara, Senator Datuk Nur Jazlan Tan Sri Mohamed.


Nelson yang juga Ketua Bahagian UPKO Beaufort merupakan mantan majistret dan kini pengamal undang-undang yang mempunyai firma guaman sendiri.


Beliau juga pernah menjawat Pengerusi Saham Amanah Sabah sebelum ini dan turut bergiat aktif dalam bidang sukan sebagai Timbalan Presiden Kesatuan Ragbi Sabah.

Turut hadir menyaksikan majlis angkat sumpah tersebut ialah Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick yang juga Presiden UPKO.


Ewon merakamkan penghargaan kepada Yang Di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim atas perkenan pelantikan Senator daripada UPKO dan ucapan terima kasih kepada Perdana Menteri, Dato Seri Anwar Ibrahim yang bersetuju dengan pelantikan tersebut.


“Saya berharap suara UPKO bertambah lantang di Parlimen selepas ini dan juga perkhidmatan kepada rakyat, khususya di Sabah dapat diperkasakan lagi melalui perlantikan Datuk Nelson sebagai Senator. Saya akan terus berazam memastikan kesinambungan perjuangan parti ini relevan sepanjang masa,” katanya.


Sementara itu, ketika ditemui selepas majlis angkat sumpah, Nelson menyatakan penghargaan kepada Datuk Ewon yang mencadangkan beliau menjadi Senator.


“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden UPKO Datuk Ewon kerana menyokong dan mencadangkan nama saya sebagai Ahli Dewan Negara.


“Saya akan menggalas tanggungjawab besar ini sebaik mungkin, bukan sahaja membawa pelbagai isu yang diutarakan oleh rakyat Sabah tetapi juga isu-isu nasional yang perlu dibawa di Dewan Negara,” katanya.

Comments


bottom of page