top of page

SIE2026 tarik penyertaan 15 negara, perkukuh Sabah sebagai laluan pasaran global

  • nabalunews
  • 2 hours ago
  • 2 min read

4 September 2026


KOTA KINABALU: Sabah International Expo 2026 (SIE2026) mencatatkan penyertaan 15 negara, sekali gus mencerminkan keyakinan dan minat komuniti perniagaan antarabangsa terhadap Sabah sebagai destinasi perdagangan, pelaburan dan kerjasama perniagaan.


Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah, Datuk Ewon Benedick berkata, penyertaan antarabangsa itu turut memperkukuh aspirasi SIE2026 menerusi tema “Sabah – Your Gateway to Global Opportunities.”


Beliau berkata, 15 negara yang menyertai SIE2026 ialah Australia, Brunei Darussalam, China, Denmark, Finland, India, Indonesia, Jepun, Korea Selatan, Malaysia (Semenanjung), Filipina, Poland, Singapura, Thailand dan Zambia.


“Penyertaan antarabangsa ini merupakan petunjuk kukuh terhadap minat yang semakin meningkat terhadap Sabah sebagai destinasi perdagangan, pelaburan dan kerjasama perniagaan.

“SIE2026 bukan sekadar sebuah pameran, tetapi platform untuk kita menghubungkan pasaran, membina kerjasama, mewujudkan peluang dan meningkatkan nilai,” katanya.


Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Perasmian SIE2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, hari ini.


Ewon yang juga Pengerusi Utama Penganjur SIE2026 berkata, pameran itu menyediakan sebanyak 300 reruai dengan kira-kira 35 peratus melibatkan pempamer antarabangsa termasuk dari rantau BIMP-EAGA.

Katanya, kira-kira 10,000 pelawat perdagangan, delegasi, peserta dan pengunjung dijangka menghadiri pameran utama SIE2026 selama tiga hari bermula hari ini hingga Ahad.


“Sepanjang tiga hari ini, kita menyasarkan kira-kira 10,000 pengunjung dan potensi jualan serta transaksi perniagaan sehingga RM10 juta.


“Ini merupakan satu platform kepada usahawan tempatan Sabah untuk memasarkan produk dan perkhidmatan mereka serta meneroka potensi kerjasama perdagangan dengan delegasi dari luar negara.

“Pada masa sama, kita di Sabah mengalu-alukan kehadiran pempamer antarabangsa khususnya dari wilayah BIMP-EAGA melibatkan Brunei Darussalam, Indonesia dan Filipina,” katanya.


Ewon yakin SIE2026 mampu mencapai hasil yang cemerlang termasuk membuka lebih banyak peluang kerjasama perdagangan, pelaburan dan jaringan perniagaan kepada usahawan Sabah.


Terdahulu itu, ketika berucap, beliau berkata, nilai sebenar SIE2026 bukan hanya terletak kepada jumlah pempamer atau pengunjung tetapi hubungan dan kerjasama perniagaan yang berjaya diwujudkan menerusi platform itu.


“Pada akhirnya, kejayaan sesebuah pameran bukan hanya diukur berdasarkan jumlah reruai atau pengunjung yang hadir, sebaliknya ia diukur melalui urus niaga perniagaan yang dimeterai, kerjasama yang diwujudkan, pelaburan yang dijana serta peluang yang dicipta untuk rakyat,” katanya.

Beliau berkata, Sabah mahu meletakkan kedudukannya sebagai pintu gerbang ke Borneo, jambatan kepada BIMP-EAGA dan platform kepada perniagaan untuk mengakses pasaran serantau serta antarabangsa.


Antara program utama SIE2026 ialah Persidangan Perdagangan, Pelaburan dan Industri Halal BIMP-EAGA Ke-3 yang menghimpunkan kira-kira 300 delegasi bagi membincangkan peluang perdagangan, pelaburan dan perkembangan ekonomi halal.


SIE2026 turut menampilkan Sabah International Business Luncheon Talk yang menampilkan Pengasas dan Pengerusi Sunway Group, Tan Sri Sir Dr Jeffrey Cheah, yang berkongsi pengalaman kepimpinan dan perjalanan perniagaannya kepada kira-kira 700 peserta.


Majlis Makan Malam Sambutan Negeri yang diadakan malam tadi pula menghimpunkan kira-kira 900 tetamu termasuk delegasi antarabangsa, duta, konsul jeneral, ketua delegasi, pempamer, pemimpin perniagaan serta wakil kerajaan dan industri.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page