top of page

Sistem pengairan sawah DUN Melalap dipertingkat

  • nabalunews
  • 6 minutes ago
  • 1 min read

2 Februari 2026


TENOM: Sistem pengairan di semua kampung dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Melalap akan ditambah baik secara lebih efisien bagi membantu pengusaha padi.


Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Datuk Jamawi Jaafar berkata, pihaknya menerima maklum balas daripada pengusaha padi di Kampung Kasiai, Kampung Langsat, Kampung Sawang, Kampung Jawa Sumbiling dan Kampung Babalang mengenai masalah sistem pengairan yang menjejaskan aktiviti penanaman padi.


“Contohnya di Kampung Kasiai yang kita lawati kelmarin, pengusaha tidak dapat mengusahakan tanaman padi kerana sistem pengairan tidak berfungsi dengan baik.

“Banjir besar tahun lalu telah meruntuhkan tembok yang dibina oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), seperti yang dimaklumkan oleh Jurutera JPS Daerah, Lahaman Dahing. Justeru, pembinaan baharu akan dilaksanakan tahun ini,” katanya.


Jamawi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap berkata, beliau akan memastikan semua kampung yang mempunyai kawasan sawah padi di DUN Melalap mendapat bantuan penambahbaikan sistem pengairan.


“Kita akan meluruskan sungai bagi memastikan bekalan air pengairan yang lebih baik, termasuk di Kampung Kasiai.

“Di Kampung Langsat pula, sistem pengairan masih tidak teratur dan menggunakan kaedah lama seperti susunan batu dan guni, begitu juga di Kampung Sawang,” katanya ketika meninjau sebuah projek pengairan yang siap dilaksanakan tahun lalu di Sungai Kampung Kalang, yang telah memberi impak positif kepada penanaman padi di kawasan berkenaan.


Jamawi turut merakamkan penghargaan kepada Jurutera JPS yang sanggup turun padang bersama-sama walaupun pada hujung minggu.

Turut hadir ialah Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM), Denesly Justin serta kakitangan Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) DUN Melalap.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page