SK Kiau 1 Raih Kecemerlangan Pelajar Dalam Majlis Anugerah Tahunan
- nabalunews
- Dec 20, 2025
- 2 min read

20 Disember 2025
KOTA BELUD: Sekolah Kebangsaan (SK) Kiau 1 telah meraikan kejayaan akademik dan kokurikulum murid-muridnya pada Majlis Hari Kecemerlangan Sekolah yang diadakan di Dewan Terbuka sekolah tersebut, semalam.
Majlis yang berlangsung dengan penuh meriah itu telah dirasmikan oleh Pegawai Pendidikan Daerah Kota Belud, Dr. Japran Hj. Kusin.
Dalam ucapannya, Dr. Japran mengucapkan penghargaan kepada pihak pentadbiran sekolah dan komitmen tidak berbelah bahagi daripada para ibu bapa.
“Kerjasama erat antara sekolah dan rumah amat penting dalam melahirkan generasi yang berjaya. Acara seperti ini bukan sekadar majlis penyampaian hadiah, tetapi merupakan platform untuk menghargai setiap usaha dan perkembangan murid,” ujarnya.
Beliau turut menekankan falsafah pendidikan yang berteraskan pembangunan sahsiah.
“Asas mendidik adalah dengan ‘mendidik akhlak asas’ (educate the basic character). Saya berharap semua murid di sini akan terus berjaya sehingga ke menara gading, dan kelak kembali membangunkan komuniti Kampung Kiau dan SK Kiau 1 ke arah yang lebih gemilang.”
Sementara itu, Guru Besar SK Kiau 1, Mohd. Zain Tawan, dalam ucapannya mengucapkan tahniah kepada semua penerima anugerah.
“Kejayaan yang diraikan pada hari ini merangkumi kecemerlangan dalam bidang akademik, kokurikulum, dan pembangunan sahsiah sepanjang tahun 2025. Kejayaan ini adalah hasil dedikasi murid, komitmen guru, dan sokongan padu ibu bapa,” katanya.
Antara acara kemuncak majlis ialah penyampaian Anugerah Nilam kepada murid terpilih setiap tahun, yang diserahkan sendiri oleh Dr. Japran.
Senarai Penerima Anugerah Nilam 2025 adalah seperti berikut:
· Pra-Sekolah: Oliver Evon
· Tahun 1: Ellney Wellnydra Jaikeh
· Tahun 2: Cyrell Jov Saiheng
· Tahun 3: Ivo Alcander
· Tahun 4: Zylen Clyde Joseph
· Tahun 5: Clevabelle Jov Saiheng
· Tahun 6: Ethan Maruli Silalahi
Majlis turut menyaksikan pemberian Hadiah Potensi Kelas Bintang Harapan kepada beberapa murid Tahun 1, 2, dan 3 yang menunjukkan peningkatan dan potensi membanggakan.
Majlis yang dihadiri oleh para guru, ibu bapa, dan komuniti setempat itu berakhir dengan jamuan dan sesi bergambar, sekaligus menutup tirai program sekolah bagi tahun 2025 dengan penuh makna.















Comments